Cari @ Amanz

Jika anda sedang mencari sebuah tetikus nirwayar yang boleh digunakan untuk tujuan gaming dan juga produktiviti, Cooler Master, pembuat aksesori dan kelengkapan gaming mengatakan bahawa tetikus gaming nirwayar terbaru mereka, Cooler Master MM731 akan memasuki pasaran tempatan pada bulan Mac kelak.

Tetikus MM731 ini hadir dengan rekaan polikarbonat ergonomik serba ringan dengan berat 59g sahaja. Kelebihan tetikus ini berbanding dengan tetikus dengan rekaan serba ringan seperti ini ialah tetikus lain lazimnya hadir dengan rekaan berlubang, yang mana walaupun ia membantu dalam meringankan tetikus tersebut, tidak semua orang gemar akan rekaan tersebut.

Ia hadir dengan 4 butang yang boleh diprogram semula menggunakan perisian MasterPlus+ yang juga boleh digunakan untuk mengawal dan mengemaskini kesemua aksesori dan perkakasan Cooler Master pengguna.

Dari segi spesifikasi, tetikus MM731 ini menggunakan sensor PixArt PAW3370 yang hadir dengan nilai DPI 19,000 dan juga boleh digunakan secara berwayar dan juga nirwayar, melalui sambungan WiFi 2.4GHz ataupun Bluetooth menggunakan penyesuai terbina.

Menggunakan sambungan WiFi, tetikus ini boleh bertahan selama 72 jam dengan penggunaan berterusan, manakala menggunakan sambungan Bluetooth, ia boleh bertahan sehingga 190 jam tanpa masalah.

Cooler Master Malaysia mengatakan bahawa apabila tetikus Cooler Master MM731 ini memasuki pasaran tempatan kelak, ia akan dijual pada harga RM289.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd