Ulasan Vivo V23 5G – Badan Boleh Tukar Warna Dengan Kamera Baik Dalam Kelasnya

Diterbitkan pada Feb 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Berbicara mengenai keistimewaan untuk aspek reka bentuk kemasan dan keupayaan kualiti bahan, kriteria ini sememangnya tidak asing lagi untuk peranti keluaran Vivo. Boleh dikatakan, kebanyakan peranti Vivo di pasaran mempunyai nilai tersendiri dengan hasil sentuhan rapi bagi mencipta kesan menarik. Sama seperti Vivo V23 5G yang kelihatan cantik dengan gabungan elemen seimbang bagi memastikan konsep diketengahkan tampak baik.

Namun perlu diakui, kami merasa sedikit keliru pada awalnya. Kami berseloroh sesama sendiri antara editor, adakah benar ini peranti keluaran Vivo? Atau mungkin sebaliknya? Sebab, pengalaman awal terasa seakan memegang sebuah peranti keluaran Apple dan Oppo Reno6 5G yang pernah kami ulas sebelum ini. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai pengalaman kami bersama peranti pintar ini, segala-galanya akan dikongsi dalam artikel ulasan ini dan teruskan membaca sehingga ke penghujungnya.


Spesifikasi Peranti

Vivo V23 5G
Skrin6.44-inci AMOLED, 1080 x 2400 (FHD+), 90Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 920 5G (6 nm)
Cip2 x 2.5 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM12GB
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama64 + 8 + 2 Megapixel
(f/2.0 + f/2.3 + f/2.4), [email protected]
Kamera Depan50 + 8 Megapixel (f/2.2), [email protected]
Bateri4,200mAh
Pengecasan Pantas 44W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Bawah Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM2,099

Kemunculan Vivo V23 5G telah membuka lembaran baru, seterusnya menyumbang idea bagi rekaan yang menepati keperluan segelintir pengguna. Apa yang kami fikirkan secara peribadi mengenai peranti pintar ini? Baiklah, ia kelihatan benar-benar cantik dan terasa premium. Gabungan kemasan matte di belakang dengan bingkai berwarna emas yang menyeluruh sememangnya dapat menonjolkan elemen moden yang mampu menarik perhatian.

Bukan itu sahaja, kebolehan kerangka peranti berubah warna antara emas kebiruan turut menjadi salah satu daya tarikan utama di sini. Untuk makluman, panel belakang ini menggunakan kaca AG Fluorite yang berubah warna apabila terdedah kepada cahaya. Ia ternyata memberi kelainan serta sedap mata memandang. Tetapi, kami yakin akan ada pihak yang berpendapat, tiada kepentingannya kemasan sebegini kerana kebanyakan antara kita akan menggunakan kerangka. Jadi, apa kata anda gunakan sahaja kerangka silikon yang diberi percuma oleh Vivo? Kenapa perlu bersusah-payah untuk membeli kerangka yang cantik, kalau peranti itu sendiri sudah sedia cantik. Bukan? Bagaimanapun, ini hanyalah pandangan peribadi kami.

Tidak ketinggalan, panel belakang ini turut menempatkan modul kamera berbentuk segi empat yang agak besar. Kemudian, terdapatnya tiga bonggol kamera berbeza untuk setiap satu lensa yang disusun secara menegak. Pada masa sama, sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang bersama penjenamaan ’64MP Triple Camera’ turut jelas kelihatan. Bonggol kamera ini tidak terlalu tebal, namun tetap sukar untuk diletakkan secara rata di atas meja. Sebelum terlupa, tetapan kamera utama ini terdiri dengan 64-Megapixel untuk lensa utama, lensa ultra-lebar 8-Megapixel dan lensa potret 2-Megapixel. Tiada sokongan untuk OIS, tetapi ia mempunyai penstabilan terbina untuk rakaman video yang lebih baik.

Seterusnya, ia juga menggunakan binaan berkotak dengan skrin sejenis rata. Binaan sebegini juga seronok untuk digunakan sewaktu menonton kandungan video kerana masalah video melimpah tidak berlaku. Inilah yang menyebabkan perasan keliru boleh timbul sewaktu awal kami memegangnya. Kami pasti anda faham apa yang cuba kami sampaikan, bukan? Bagaimanapun, ia sememangnya mempunyai binaan yang baik, ringan dan padat. Lebih menariknya, penggunaan untuk jangka masa panjang sememangnya selesa tanpa sebarang masalah yang melampau. Pengalaman memegang peranti adalah cukup menyenangkan pada hemat kami.

Skrin peranti adalah sebesar 6.44-inci yang dirasakan sudah cukup baik. Bersesuaian untuk mereka yang mahukan sebuah peranti bersaiz kompak dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Panel pula sejenis AMOLED dengan sokongan resolusi FHD+ dan kadar segar semula tinggi 90Hz. Melengkapinya adalah saiz bezel yang seimbang pada bahagian atas dan sisi, tetapi tidak pada bahagian bawah kerana kewujudan dagu masih kelihatan.

Kemudian, terdapatnya penggunaan takuk yang lengkap dengan sokongan dwi-kamera swafoto dengan tetapan 50MP + 8MP. Lebih menariknya di sini, kamera swafoto ini turut dilengkapi kelebihan tambahan seperti dua sokongan lampu LED. Ini bagi membolehkan lebih banyak pencahayaan untuk tangkapan gambar swafoto di kawasan gelap. Bukan itu sahaja, ciri juga sangat berguna untuk rakaman konten di beberapa media sosial seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.

Melengkapi peranti adalah susunan butang standard dirasakan cukup ergonomik. Kesemuanya juga sangat mudah untuk diakses. Sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan laras audio. Sisi kiri pula tidak menunjukkan sebarang kewujudan butang atau lubang. Kemudian, ruang slot untuk SIM berada di bahagian bawah peranti bersama-sama dengan port sambungan USB-C dan pembesar suara. Ketiadaan bicu audio 3.5mm agak menyukarkan sesetengah pengguna yang bergantung harap pada penggunaan fon telinga berwayar. Ia juga mengakibatkan pengguna perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan aksesori tambahan. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai sokongan imbasan cap jari pada paparan dengan kebolehan yang boleh baik. Kami sendiri tidak mempunyai sebarang keluhan negatif yang mahu disuarakan mengenai prestasi sepanjang penggunaan.


Perisian & Penggunaan

Untuk perisian, Vivo V23 5G dilengkapi antara muka FunTouchOS 12 yang dibina berasaskan Android 12 terkini. Antara muka keseluruhannya nampak lebih kemas dan minimal selari dengan citarasa reka bentuk moden. Ia juga nampak ceria dan mesra pengguna. Namun, tidak bebas daripada sebarang aplikasi gendut. Anda akan perasan, peranti telah lengkap dengan beberapa aplikasi yang sedia terpasang. Tetapi, kesemua ini masih boleh dibuang sekiranya mahu.

Seterusnya, pengguna juga boleh menetapkan pelbagai animasi tersesuai untuk beberapa fungsi menerusi tetapan. Ini termasuklah pemilihan animasi untuk proses pengecasan, imbasan cap jari, mod tema gelap dan sebagainya. Tidak ketinggalan, tatalan ke kanan pula membenarkan pintasan untuk widget diakses bagi membolehkan sebarang widget ditambah ke muka utama dengan mudah.

Seterusnya, Vivo V23 5G dijana oleh cip MediaTek Dimensity 920. Setakat artikel ini ditulis, kami belum pernah menguji sebarang peranti yang menyokong cip ini. Justeru itu, kami mengambil kesempatan bagi melihat sendiri kebolehannya. Untuk makluman, peranti menyokong kebolehan RAM secara maya mencapai 4GB RAM yang mana dilihat menjadi trend kebanyakan pengeluar peranti Android ketika ini. Ia juga bersesuaian buat para pengguna yang mahukan ruang memori RAM lebih besar. Dari segi prestasi, penggunaan peranti untuk sejumlah aktiviti harian biasa boleh dipuji. Ternyata, ia memberikan pengalaman keseluruhan yang konsisten. Proses membuka aplikasi dan multitasking yang lancar.

Seterusnya, penggunaan peranti sewaktu melayari web dan menatal media sosial juga tidak memberi masalah yang melampau. Padanan ciri RAM maya turut membuahkan hasil yang baik, seterusnya menjadi bonus menarik buat sesetengah pihak yang dihantui dengan pemasalahan RAM sedia yang tidak mencukupi. Di samping itu, pengalaman bermain kebanyakan permua juga tidak memberikan isu yang melampau apabila dimainkan pada grafik sederhana. Ia mungkin tidaklah sehebat sebuah peranti yang memfokuskan permua sepenuhnya, tetapi prestasi yang ditunjukkan adalah memuaskan buat pengguna biasa.

Pengalaman penggunaan menjadi bertambah baik dengan adanya panel AMOLED pada peranti. Ia mempunyai tahap kecerahan yang baik dengan penghasilan semula warna cukup memuaskan. Ia juga kelihatan ranggi, di samping penghasilan warna hitam yang benar-benar gelap sepenuhnya. Setiap butiran pada kandungan yang ditonton nampak jelas dan terang tanpa isu cela melampau. Cumanya, penggunaan peranti di bawah cahaya matahari terik berada di tahap sederhana sungguhpun pada tahap kecerahan yang maksimum. Seterusnya, penggunaan takuk besar untuk perletakan kamera hadapan masih boleh dianggap perjudiaan yang munasabah. Mungkin dianggap ketinggalan pada sesetangah pihak, namun kewujudannya di sini bagaimanapun tidaklah memberi impak negatif yang besar.

Seperkara lagi, peranti ini hanya menyokong sistem pembesar suara mono. Kemudian, ia juga tidak disertakan dengan sebarang ciri tambahan seperti Dolby Atmos. Pada hemat kami, audio yang dilontarkan adalah lantang tetapi tidak begitu mengagumkan. Sekadar mendengar dirasakan baik-baik sahaja.


Kamera

Seterusnya, sistem kamera dengan tetapan 64-Megapixel + lensa ultra-lebar 8-Megapixel + lensa potrait 2-Megapixel digunakan bagi membolehkan gambar yang berkualiti diambil. Gambar statik boleh diambil pada nisbah 4:3, 16:9, 1:1 dan skrin penuh. Kebolehan zum optikal pula hany 2X, sementara itu zum digital boleh mencapai sehingga 20X. Mod-mod kamera yang disertakan pula adalah Night, Portrait, Photo, Video, Dual-View, Documents, Slo-mo, High resolution, AR Sticker, Time-Lapse, Pano, Double Exposure, Pro dan Live Photo.

Kebolehan rakaman video pula terdapatnya kemampuan merakam pada tetapan video 4K/30fps dengan HDR yang diaktifkan. Bersama-samanya dengannya, terdapat juga sokongan penstabilan terbina untuk kedua-dua belah kamera. Namun apa yang membezakannya adalah ia boleh digunakan pada kamera belakang dengan tetapan rakaman mencapai 4K/30fps. Tetapi, kamera hadapan pula hanya terhad kepada 1080/30fps.

Kamera hadapan pula adalah sebesar 50MP + 8MP dan tiada sokongan OIS terbina yang menyokongnya. Bercakap lebih lanjut mengenainya, terdapat sokongan dual LED sportlight terbina yang pada hemat kami amat berguna buat si pencinta selfie serta pencipta kandungan. Antara yang boleh dilakukan adalah memancarkan cahaya tambahan untuk hasil tangkapan gambar dan video pada pencahayaan gelap lebih baik. Terdapat juga beberapa tetapan yang membolehkannya diubahsuai, di samping penuras dengan kesan khas yang pelbagai.

Pada hemat kami, ia seronok apabila digunakan pada kamera 50MP, tetapi tidak begitu mengagumkan untuk tangkapan gambar ultra-lebar menerusi sensor 8MP. Sebabnya, hasil tangkapan nampak kurang memuaskan dengan kesan herotan yang ketara. Bukan itu sahaja, ia turut sama menunjukkan penghasilan semula imej kelihatan lembut bersama butiran yang tidak terjaga.

Menyentuh soal kualiti, peranti memberi hasil yang baik dalam situasi pencahayaan cukup. Di mana, penghasilan semula warna dan dedahan adalah memuaskan. Ketepuan warna dijaga dengan baik dan tampak cukup menyerlah. Malahan, sumber cahaya yang terang sekalipun tidak memberikan kesan silau yang melampau. Bukan itu sahaja, butiran pada imej turut dijaga dengan baik sekaligus imej yang jelas dapat dihasilkan. Lebih menariknya di sini, ia turut menyokong fungsi Portrait Framing yang mampu memberi panduan rakaman dengan sudut yang baik dapat dihasilkan. Tetapi, kekurangan sokongan untuk OIS bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya pada kebolehan EIS.

Kebolehan zum yang baik hanya setakat 2X, selebihnya adalah kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, seperkara yang kami sedari apabila gambar diambil menerusi lensa ultra-lebar ialah butiran pada gambar tidak dijaga dengan baik. Kesan herotan (distortion) adalah ketara. Bagaimanapun, kita perlu ingat, ia bukanlah satu hal yang asing untuk hasil gambar daripada sensor sebegini. Tetapi, boleh dikatakan kerap sahaja berlaku pada sejumlah peranti lain.

Seterusnya, hasil gambar yang diambil pada waktu malam pula menunjukkan prestasi yang tidak begitu konsisten. Dalam sesetengah keadaan, gambar memberi hasil yang memuaskan. Jelas kelihatan, kecerdasan buatan yang menyokong begitu bijak melakukan tetapan kamera yang baik. Butiran dan ketepuan warna dijaga dengan baik, di samping kesan hingar Ia kemudiannya boleh ditambah-baik lagi dengan sokongan mod malam yang sedia terbina. Gambar akan nampak lebih tajam dan jelas berbanding mod automatik.

Cuma, kami menyedari terdapat sedikit masa yang diperlukan untuk tangkapan gambar dengan mod malam ini. Ia bagaimanapun bergantung juga dengan sumber cahaya ketika itu. Selain daripada itu, masalah kekecewaan turut berlaku dalam sesetengah keadaan gambar kerana masalah sumber cahaya yang terlalu terang dapat dilihat dengan jelas. Kemudian, gambar terhasil juga sedikit lembut. Bagaimanapun, kebolehan peranti mengawal kewujudan hingar dalam sesetengah gambar masih boleh diberi pujian. Ia masih ada tetapi tidak begitu ketara berbanding sejumlah pesaing setara.

Lain-lain sensor seperti makro, kemampuan mengambil gambar sebegini berada di tahap yang sederhana sahaja. Tidak begitu sempurna, tetapi masih memadai digunakan untuk penggunaan seharian. Bergantung kepada pengguna sendiri untuk menilai kebolehannya di sini. Sebelum terlupa, perlu juga anda tahu yang mana kekuatan pada rakaman video peranti ini adalah sokongan penstabilan secara terbina.

Terdapat dua pilihan yang disediakan, sama ada standard atau ultra. Bergantung kepada pengguna sendiri untuk memilih selari dengan keadaan semasa. Bagaimanapun, ia mampu sahaja berfungsi dengan baik tetapi rakaman tertinggi adalah terhad kepada 1080P/30fps sahaja. Video 4K tidak menyokong fungsi penstabilan ini. Pada masa sama, rakaman dengan kebolehan sudut lebar turut boleh dirakam menerusi peranti ini.


Bateri

Sebuah bateri sebesar 4,300mAh turut dimuatkan pada Vivo V23 5G. Ia juga menyokong pengecasan pantas berwayar dengan kuasa output mencapai 44W. Tiada sebarang kebolehan untuk pengecasan berbalik mahupun nirwayar. Bercakap soal kualiti, ia mempunyai jangka hayat bateri yang baik. Tetapi, perlu kami tegasnya semua ini bergantung kepada penggunaan pengguna itu sendiri.

Bagi kami sendiri, bacaan SOT peranti yang berjaya dicatatkan adalah melebihi 6 jam dengan sekali pengecasan penuh. Ini adalah penggunaan harian biasa kami seperti menangkap gambar, menonton kandungan di video dan netflix, bermain permua, membuat panggilan telefon/video dan sebagainya. Sebelum terlupa, tetapan skrin yang digunakan adalah pada 90Hz tanpa berubah kepada standard.


Pesaing

Vivo V23 5GRealme 9 Pro+Oppo Reno7 5G
6.44″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~409 ppi)
6.4″, AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~411 ppi)
6.43″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, HDR10+, (~409 ppi)
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 900 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4
12 GB RAM
256 GB UFS 2.1
6/8 GB RAM
256 GB UFS 2.2
8GB RAM
256GB UFS 2.2
64MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, 118˚ (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.7 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP f/2.0
8MP f/2.3
32 MP32 MP (f/2.5)
Tiada bicu audioBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio StereoAudio Mono
4200 mAh
Pengecasan pantas 44W
4500 mAh
Pengecasan pantas 60W
4500 mAh
Pengecasan pantas 65W
RM2099 (12/ 256 GB)
RM1394* (6GB/128 GB)
RM1616* (8GB/256 GB)

*Harga luar
RM1999 (8/256 GB)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Vivo V23 mempunyai banyak perkara yang menarik. Antaranya seperti tubuh dengan kemasan anggun yang meletakkannya dalam kelas tersendiri. Meskipun ia diilhamkan daripada salah satu pengeluar terkenal, tetapi olahan persembahannya memiliki nilai tersendiri. Prestasi juga adalah baik dengan skrin 90Hz yang boleh digunakan dengan baik-baik sahaja. Kemudian, kebolehan kamera yang mengagumkan tanpa membuang fungsi utama. Sekaligus, ia boleh dianggap berjaya meneruskan tradiri siri peranti itu sendiri yang memfokuskan kepada kemampuan kamera baik. Tidak ketinggalan, bateri mungkin boleh dikatakan agak kecil tetapi ketahanannya adalah baik dengan bonus tambahan iaitu pengecasan pantas 44W.

Bagaimanapun, sudah menjadi lumrah yang mana tidak semua di dunia ini serba serbi sempurna. Baik manusia, mahupun benda tidak hidup. Kekurangan ketara yang boleh dilihat adalah sokongan pembesar suara mono. Tidak dapat dipastikan mengapa Vivo masih tidak mampu memberikan pembesar suara stereo pada siri ini. Sedangkan terdapat pesaing setara yang mampu berbuat demikian. Kemudian, ketiadaan pelindungan kalis air dan debu juga boleh dianggap kekurangan. Tambahan pula keadaan cuaca yang tidak menentu di Malaysia, kewujudan ciri ini adalah sangat dialu-alukan untuk pelindungan peranti lebih menyeluruh. Tidak habis disitu, model kali ini tiada sokongan untuk OIS sedangkan model terdahulu menyokong ciri begini.

Jadi, siapakah yang sepatutnya membeli peranti ini? Ia merupakan pilihan yang cukup baik untuk vlogger, penggemar selfie dan penggunaan kandungan video. Di samping itu, ia juga memadai digunakan untuk bermain permua, tetapi bukanlah pilihan terbaik untuk penggemar permua tegar. Sungguhpun begitu, bergantung pada pengguna itu sendiri. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya pada harga RM2,099 menerusi beberapa saluran berbeza. Ini termasuklah kedai atas talian rasmi Vivo, Lazada dan Shopee. Sebagai alternatif lain, anda juga mendapatkannya menerusi kedai fizikal rasmi Vivo di seluruh Malaysia.


Pro

  • Rekaan anggun dan selesa dipegang.
  • Tubuh berkotak & skrin rata mengelakkan isu kandungan video melimpah.
  • Prestasi memuaskan dalam segmennya.
  • Lebih banyak penambah-baikan pada keupayaan kamera.
  • Perisian dengan sokongan sistem operasi terkini.
  • Pengecasan pantas dengan kuasa output mencapai 44W.

Kontra

  • Pembesar suara mono.
  • Tiada bicu audio & pelindungan kalis air.
  • Kapasiti bateri agak kecil.
  • Penggunaan skrin bertakuk masih dikekalkan.
  • Terdapatnya aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun.

komen


© Amanz / 2022 Kami