Carian
Siri Oppo Find X5 Kini Rasmi – Snapdragon 8 Gen 1, Kamera 50MP Hasselblad, Marisilicon X, Dan IP68
February 24, 2022 Fahim Zahar

Oppo hari ini telah mengadakan acara pelancaran untuk Oppo Find X5 dan Oppo Find X5 Pro. Selepas berkali-kali maklumat peranti ini tertiris dengan imej pengolokan dan spesifikasi, peranti ini akhirnya rasmi diperkenalkan kepada umum.

Oppo Find X5 Pro

Oppo memilih saiz skrin 6.7″ daripada panel AMOLED melengkung dengan resolusi WQHD+. Oppo turut mengekalkan sokongan warna 10-bit, kadar segar semula tinggi 120Hz, serta menyokong 8192 tahap malap untuk memastikan mata pengguna tidak sakit tanpa kira apa jua kondisi cahaya. Untuk cip pemprosesan, Oppo Find X5 Pro dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1 yang turut menyokong memori maya.

Seperti Find X3 sebelum ini, Find X5 turut memfokuskan kepada fotografi. Kamera utama untuk Find X5 Pro adalah 50+50+13 Megapixel daripada sensor Sony IMX766 untuk sudut ultra lebar, IMX766 untuk sensor utama dengan kaca Ultra-Transparent dan juga sensor telefoto 5x zum hibrid dan 20x zum digital. Keunikan peranti Oppo kali ini adalah ia dimuatkan dengan cip tersendiri Marisilicon X. Cip ini menyokong pengurangan hingar dengan kecerdasan buatan, boleh memelihara butiran dengan lebih baik serta adil untuk semua warna kulit. Cip ini turut membantu rakaman video 4K dalam mod malam pada kualiti dan ia juga tidak akan dapat dicapai tanpa sistem OIS lima paksi yang turut disertakan.

Untuk kamera swafoto, Oppo menggunakan sensor 32MP yang dibina bersama Sony iaitu IMX709 dan turut akan memanfaatkan cip Marisilicon X tadi. Sistem kamera Oppo Find X5 Pro turut ditala oleh Hasselblad seperti OnePlus 10 Pro untuk menggunakan sains warna mereka Hasselblad Natural Colour Calibration dan penuras Master.

Oppo menyertakan bateri sebesar 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W SuperVOOC yang boleh mengecas peranti sehingga 50% dalam masa 12 minit dan 50W AirVOOC untuk pengecasan nirwayar pantas yang boleh mengecas peranti 100% dalam masa 47 minit. Untuk sekuriti, Oppo menggunakan sensor pengimbas cap jari di bawah skrin.

Peranti ini menjalankan sistem operasi ColorOS 12.1 berasaskan Android 12, menyokong banyak tema tersuai, Omoji, memfokuskan privasi dan sekuriti serta turut menyokong Multi-Screen Connect seakan Huawei.

Peranti ini kali ini hadir dengan rekaan yang lebih kurang sama dengan siri Find X3 sebelum ini tetapi diperbaharui. Ia dikatakan adalah elemen futuristik dan akan memberi ketenangan kepada pengguna. Panel dibina daripada seramik dan menawarkan pilihan warna Ceramic White dan Glaze Black. Buat pertama kali juga, Oppo menyertakan sokongan IP68 sekaligus menjadi setanding dengan iPhone atau Samsung Galaxy S.

Oppo Find X5

Untuk peranti Find X5 biasa, skrin yang digunakan adalah 6.5″, juga menyokong 120Hz dan piawaian warna yang sama. Cip pemprosesan yang digunakan pula adalah Snapdragon 888 dan dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM serta storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1.

Untuk kamera, ia sama sahaja dengan versi Pro iaitu dwi 50MP IMX766 dan 13MPP telefoto. Bateri pula adalah 4800mAh sedikit kecil dengan pengcasan yang sama iaitu 80W SuperVOOC, tetapi pengecasan nirwayar hanya 30W AirVOOC.

Binaan Oppo Find X5 biasa ini adalah kaca berkabut kusam (frosted matte) yang anti kotoran cap jari, memberi kemasan yang lembut pada jari serta menawarkan pilihan warna Hitam atau Putih.

Harga jualan Oppo Find X5 Pro bermula Euro 1,299 iaitu sekitar RM6098 dan Find X5 pula bermula Euro 999 iaitu sekitar RM4689.

Komen