Koleksi NFT Dapat Dipamerkan Dengan Lebih Mudah Menggunakan Tokenframe

Diterbitkan pada Feb 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pembelian NFT semakin meningkat dengan pelbagai projek baharu diterbitkan setiap hari dan Malaysia menjadi antara negara dengan jumlah pengumpul paling aktif di dunia. Tetapi dengan koleksi wujud dalam bentuk digital, sukar untuk menunjukkannya kepada umum. Kepada pengumpul NFT, Tokenframe telah dilancarkan khusus untuk mempamerkan koleksi peribadi.

Tokenframe ialah skrin pintar yang ditawarkan dalam saiz 10″, 21.5″,32″, 43″ dan 55″ dengan resolusi FHD. Pemilik boleh mengakses koleksi NFT dalam dompet seperti Metamask, Fortmatic, dan WalletConnect untuk dipamerkan pada skrin. Bingkai pula diperbuat daripada kayu dengan pengguna boleh mengkustomasi kemasan akhir birch, mahogany, Solid White dan Solid Black mengikut ruang tamu di rumah.

Tiada ciri televisyen pintar disertakan dan terdapat sepasang speaker stereo terbina untuk NFT yang hadir dengan audio. Ia juga hadir dengan girometer untuk mengesan ia diletakkan pada kedudukan menegak atau mendatar. Tokenframe dijual pada harga bermula 0.0087 BTC (~RM1415) sebuah untuk skrin 10″ dan meningkat ke 0.0725 BTC (~RM11,798) untuk skrin 55″.

Ciri mempamerkan koleksi NFT ini bukanlah baharu dan pada waktu ini turut disokong pada televisyen pintar baharu Samsung tahun 2022 yang juga menawarkan ciri membelinya terus dari TV.

komen


© Amanz / 2022 Kami