Lenovo ThinkPad Berasaskan ARM Bakal Diperkenal Pada MWC 2022, Dengan Sokongan 5G

Diterbitkan pada Feb 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Lenovo nampaknya akan memperkenalkan ThinkPad berasaskan ARM pada acara MWC 2022 minggu ini – sekaligus meninggalkan penggunaan cip Intel dan AMD seperti sebelum ini. ThinkPad sedia ditujukan kepada pengguna profesional, dan dengan penggunaan cip berasaskan ARM, Lenovo dijangka memfokuskan kepada masa penggunaan baterinya yang lama.

Info ini tertiris melalui laman ArsTechnica, yang kini dilihat telah memadam pandang pertama ringkas mereka untuk komputer riba berkenaan.

Mengikut maklumat yang diterbitkan, Lenovo Thinkpad 13S ini kelak akan dijana dengan cip Qualcomm Snapdragon 8cx Gen 3, dan menjalankan Windows 11. Lenovo dipetik mengatakan ia mampu bertahan sehingga 28 jam lamanya.

Komputer riba ini dijangka menawarkan prestasi seumpama cip Intel Core i5. Dengan sokongan aplikasi seperti Microsoft 365, Zoom, dan sebagainya, ia dijangka akan menjadi salah satu komputer riba pilihan pengguna profesional.

Menariknya juga, ia turut dilihat akan hadir dengan sebuah slot sim 5G bersama dengannya, selain sokongan memori 32GB RAM, serta storan sehingga 1TB PCIe 4.0 SSD.

Komputer riba ini bakal dijual bermula Mei kelak. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi berkaitan dengan komputer riba ini pada minggu ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami