ZTE kini telah pun memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka untuk 2022, iaitu ZTE Nubia Z40 Pro. Telefon pintar ini hadir dengan sejumlah spesifikasi menarik, termasuk ciri pengecasan unik berasaskan magnetik.
ZTE Nubia Z40 Pro ini hadir dengan skrin 6.67-inci dengan panel AMOLED dan kadar segar semula 144Hz, dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, memori sehingga 12GB RAM dan storan 512GB.
Ia turut dilengkapi dengan kamera utama 64-megapixel, selain sensor 50MP untuk rakaan ultra-lebar dan 8MP untuk rakaman zum optikal sehingga 5x. Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan sensor 16MP yang diposisikan pada bahagian skrin berlubang dihadapan.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah bateri 5000mAh dengan pengecasan 80W. Menariknya juga, ia turut hadir dengan pilihan sokongan pengecasan berasaskan magnetik dengan kelajuan sehingga 15W. Dengan penawaran ini juga, ia sekaligus memperlihatkan ZTE antara yang terawal menawarkan sokongan pengecasan magnetik – lebih kurang seperti iPhone.
Buat masa ini, peranti ini diumumkan untuk pasaran China, pada harga mencapai 4299 Yuan (sekitar RM2858).