Carian
NVIDIA Digodam – Sistem Emel Dan Perisian Pembangun Terbengkalai Buat Seketika
February 28, 2022 Nazrin

Pada penghujung minggu lepas, NVIDIA, syarikat pembuat cip pemprosesan grafik dan kecerdasan buatan telah digodam, dan ia diperlihatkan bahawa sistem emel dalaman mereka dan juga sejumlah perisian pembangun telah terbengkalai akibat serangan ini.

Dalam pada itu, ia juga dikatakan bahawa sejumlah data sulit telah dicuri juga, dan menurut beberapa laporan tambahan, serangan ini dikatakan telah dilakukan oleh sekumpulan penggodam dari Amerika Selatan yang bernama LAPSUS$.

Setakat ini ia tidak diketahui apakah maklumat data yang dicuri oleh kumpulan penggodam ini, tetapi ia termasuklah sebuah salinan sistem maya (virtual machine) yang mengandungi sejumlah data rahsia untuk NVIDIA. NVIDIA dikatakan telah berjaya mengunci salinan tersebut, tetapi kumpulan penggodam ini dikatakan mempunyai salinan-salinan lain untuk sistem maya tersebut yang masih boleh diakses.

Buat masa ini NVIDIA dikatakan masih lagi dalam proses untuk memastikan bahawa sebarang kerentanan pada sistem-sistem atas talian mereka tidak dikompromi lagi, tetapi mengatakan bahawa selain daripada dua sistem yang diperkatakan, semua servis lain masih lagi berjalan seperti biasa.

Sumber: TechPowerUp

Komen