Intel NUC 12 Extreme Diperkenalkan – Komputer Kerdil Dengan Komponen Kelas Desktop Premium

Diterbitkan pada Feb 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Next Unit of Computing, atau lebih dikenali sebagai NUC ialah komputer bersaiz kecil keluaran Intel yang menunjukkan bahawa sebuah komputer berkuasa tidak perlu hadir dalam rekaan yang besar dan memakan ruang yang banyak.

Terkini, Intel memperlihatkan model NUC terbaru mereka, iaitu Intel NUC 12 Extreme yang hadir dengan kod nama Dragon Canyon yang tampil bukan sahaja dengan sebuah cip pemprosesan kelas desktop yang boleh dicabut keluar, tetapi juga sokongan untuk sebuah kad grafik berasingan yang boleh dimuatkan didalamnya dengan panjang 12 inci.

Rangka NUC Dragon Canyon ini juga dilihat lebih besar sedikit berbanding dengan penawaran NUC sebelum ini, tetapi kini ia boleh memuatkan sebuah sistem penyejuk CPU cecair yang cukup berkuasa untuk memastikan bahawa CPU seperti Intel Core i9-12900 boleh beroperasi secara optimal walaupun diguanakan didalam rangka yang kecil.

Dari segi spesifikasi, NUC Dragon Canyon ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core i9, sokongan untuk memori DDR4 sehingga 32GB, dua storan SSD NVMe PCIe 4.0, dan satu palam PCIe 5.0 yang boleh digunakan untuk merumahkan sebuah GPU dengan saiz panjang sehingga 12 inci.

Untuk input, ia akan tiba dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam Ethernet 10Gbps dan sokongan untuk WiFi 6E terbina.

Menurut Intel, NUC Dragon Canyon ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada suku kedua tahun ini pada harga $1,150 ke $1,450 bergantung kepada pilihan CPU yang diambil.

Sumber: VideoCardz

komen


© Amanz / 2022 Kami