Percaturan terbesar Meta dalam dekad yang mendatang ialah membangunkan platform metamesta degan jumlah pengguna tertinggi. Berbilion Dollar telah dibelanjakan bagi mem berikan mereka kelebihan berbanding pesaing. Sungguhpun begitu menurut laporan The Information, Meta telah menamatkan pembangunan sistem operasi untuk set kepala realiti mata dan realiti terimbuh mereka. Ini ialah ura-ura kedua dengan laporan asal dinafikan Meta bulan lalu.
Pasukan yang terdiri daripada 300 kakitangan telah dibubarkan dengan tenaga kerja dipindahkan ke pembangunan kaca mata realiti mata, Quest dan unit XR baharu. Meta dipercayai akan mengekalkan sistem operasi Android VROS yang digunakan pada Quest 2.
Pembangunan sistem operasi baharu adalah sukar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Ekosistem serta aplikasi baharu perlu diterbitkan serta memindahkan aplikasi sedia ada. Langkah yang diambil Meta ini mungkin berlaku kerana kos yang tinggi ditambah pula dengan nilai pasaran syarikat yang jatuh mendadak beberapa minggu lalu.
Samsung dan Apple akan memberikan persaingan kepada Meta dalam masa terdekat. Apple mungkin melancarkan kaca mata AR mereka tahun ini dengan Samsung pula sudah memulakan pembangunan set kepala hologram juga dengan sistem operasi Android.