Cari @ Amanz

Pandang Pertama Honor Magic4 Pro – Magis Kembali Dengan Kebolehan Zum Jauh

Link Copied!

Honor Magic 4 Pro dilancarkan di Barcelona hari ini dan terdapat beberapa penambahbaikan kecil yang diberikan dari segi spesifikasi. Dari segi reka bentuk pula sekali lagi rekaan model tahun lalu dikitar semula seperti yang dapat dilihat pada siri Honor Magic 3. Seperti kebiasaannya, persoalan yang sering dilontar oleh pengguna setiap kali peranti baru dilancarkan adalah berbaloikah ia dibeli berbanding model pendahulu? Baiklah, ini pandang pertama kami untuk Honor Magic 4 Pro.


Spesifikasi

Honor Magic 4 Pro
Skrin6.81-inci LTPO OLED, 1080 x 2400 (FHD+), 120Hz
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4 nm)
Cip1 x 3.00 GHz Cortex-X2
3 x 2.50 GHz Cortex-A710
4 x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB
Kamera Utama50 + 50 + 64 + 3D ToF + Multi Spectrum sensor
[email protected], HDR 10
Kamera Depan12MP + 3D Depth Camera
Bateri4,600mAh
Pengecasan Pantas Berwayar 100W
Pengecasan Nirwayar 100W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCTiada
Infra MerahAda
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari Ultrasonik
Imbasan Wajah Berasaskan 3D
Harga JualanRM 5160*

Skrin 6.81″ yang digunakan pada peranti pintar ini adalah lebih besar berbanding 6.76″ yang disertakan pada pendahulunya sebelum ini. Kemudian, tiada perubahan mendadak yang turut berlaku pada panel hadapan peranti. Penggunaan skrin melengkung pada kedua-dua sisi dikekalkan dengan kadar segar semula 120Hz secara adaptif. Skrin adalah berteknologi OLED yang turut resolusi mencapai FHD+. Pada masa sama, saiz bezel juga adalah seimbang pada keempat-empat sisi peranti. Pada hemat kami, keadaan ini adalah sesuatu yang begitu sesuai buat pengguna yang begitu mendambakan simetri.

Cubaan ringkas kami juga mendapati tahap keterangan skrin adalah baik untuk segenap aktiviti harian seperti melayari web, menstrim video dan sebagainya. Dengan syarat, peranti digunakan dalam kawasan yang tertutup. Jika sebaliknya, kami mendapati skrin menjadi malap dengan warna kurang menyerlah. Namun, ia tidaklah bererti peranti langsung tidak boleh digunakan. Masih boleh dengan tetapan kecerahan yang maksima, tetapi pengalaman penggunaan tidak sebaik penggunaan di kawasan tertutup. Kemudian, kebolehan 120Hz turut sama boleh berfungsi dengan responsif, namun begitu ia tidaklah begitu mengagumkan pada pengamatan kami.

Tidak ketinggalan, terdapatnya dwi-kamera swafoto diletakkan di dalam lubang yang berada di sisi atas skrin. Ia boleh digunakan untuk tangkapan gambar swafoto dan panggilan video. Pada masa sama, turut sama berfungsi bagi tujuan menyahkunci peranti menggunakan sistem imbasan wajah. Lubang ini juga sebenarnya tidak mengganggu pengalaman menonton video. Sebagai tambahan, terdapat juga satu ciri yang dinamakan sebagai Privacy Screen Compensation Sounding. Menurut Honor, ia membolehkan pengalaman panggilan suara lebih baik dapat dinikmati. Di mana, orang sekeliling tidak akan dapat mendengar setiap perbualan panggilan suara yang dibuat terutamanya di kawasan tertutup – misalnya seperti di dalam lif.

Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Kesemua butang diperbuat daripada logam dan terbina dengan kukuh. Kemudian, kami tidak temui sebarang butang atau lubang pada sisi kiri peranti. Pada bahagian atas terdapatnya gril pembesar suara, lubang mikrofon dan infra-merah. Seterusnya, port pengecasan dan sebuah lagi pembesar suara pula terletak pada bahagian bawah seperti biasa. Untuk makluman peranti ini menyokong sistem audio stereo dengan sokongan DTS X. Bonus lain yang diberikan Honor adalah kemampuan kalis air sehingga IP68. Ia dianggap menarik kerana fungsi berkenaan perlu ada pada sesebuah peranti mercu seperti Honor Magic 4 Pro.

Cuma sayangnya, kalau anda perasan tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan pada peranti ini. Hal ini sekaligus sedikit menyukarkan segelintir pihak yang masih bergantung harap dengan fon telinga jenis berwayar. Dalam situasi begini, hanya terdapat dua pilihan sama ada anda beralih angin kepada penggunaan fon telinga nirwayar. Kedua, berbelanja lebih untuk mendapatkan aksesori tambahan.


Kamera

Bahan binaan berasaskan kaca digunakan bagi melindungi tubuh panel belakang peranti. Perkara ini telah menambah lagi nilai premium pada peranti ini. Pada hemat kami, peranti kelihatan cantik dan premium. Kemudian, bahagian sisi yang dibulatkan turut tidak menyakitkan tangan apabila dipegang dalam masa yang panjang.

Sungguhpun begitu ia masih memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Selain itu, kami juga yakin bonggol kamera pada peranti turut bakal menimbulkan rasa marah sesetengah pihak. Ia amatlah besar dan tebal. Namun, beratnya masih dirasakan seimbang dan peranti juga selesa digunakan sebelah tangan. Cumanya, peranti didapati tidak boleh diletakkan secara rata di permukaan meja tanpa bantuan kerangka. Pada masa sama, barangkali untuk modul kamera yang melindungi sensor-kamera utama mengalami isu calar-balar juga adalah tinggi sekiranya tidak dijaga dengan baik.

Kemampuan kamera pula adalah sebahagiannya sama seperti yang ditemui pada Honor Magic 3 sebelum ini. Tetapan sensor 50 + 50 + 64-Megapixel digunakan pada kamera belakang ini dengan padanan sensor dToF dan Flicker Sensor untuk pengalaman fotografi lebih menarik. Ia turut sama menyokong teknologi Honor Image Engine yang didakwa mampu meningkatkan keupayaan pengimejan lebih baik pada tahap maksimum. Kesemua kamera utama ini disusun secara membulat.

Antaramuka kamera
Fungsi Magic-Log

Kemudian, gambar statik boleh diambil pada nisbah 4:3, 1:1 dan skrin penuh. Kebolehan zum optikal pula sehingga 3.5X, sementara itu zum digital boleh mencapai sehingga 100X. Mod-mod kamera yang disertakan pula adalah Night, Portrait, Photo, Video, Movie, Slo-mo, High resolution, Time-Lapse, Pano, Pro dan Story. Kebolehan rakaman video pula terdapatnya kemampuan merakam pada tetapan video 4K/60fps dengan HDR yang diaktifkan. Sebagai tambahan menarik, sistem rakaman video baharu Magic-Log turut disertakan oleh Honor bagi memudahkan proses penghasilan video berkualiti filem dinikmati pada sebuah peranti mudah alih. Melaluinya, terdapat sehingga 16 pilihan penuras unik dan menarik yang boleh dicuba.


Pemproses & Bateri

Pemproses lapan teras Snapdragon 8 Gen1 dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sebesar 256GB (UFS 3.1). Antara muka yang digunakan pula adalah MagicUI 6.0 berasaskan Android 12. Ia menampilkan rekaan ikon yang lebih kemas dan ceria berbanding versi EMUI yang sebelum ini. Malahan, ia juga ringkas dan dioptimumkan dengann baik bagi memudahkan penggunaan. Sejumlah tetapan juga boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Sebagai contohnya, terdapat beberapa pilihan tema secara terbina yang disediakan sekiranya paparan sedia ada kelihatan kurang menarik. Pada masa sama, kami merasakan prestasinya ditahap yang memuaskan dengan kebolehan peralihan antara animasi yang lancar tanpa sebarang isu melampau. Namun mesra untuk diingatkan, ia adalah berdasarkan penggunaan singkat kami bersama peranti dengan penggunaan sekitar 30 – 40 minit. Sebagai tambahan, peranti turut menyokong beberapa fungsi tambahan seperti LINK Turbo, GPU Turbo dan OS Turbo untuk pengalaman penggunaan yang lebih optimum. Masalah pemanasan peranti turut akan diselesaikan dengan sistem penyejukan yang direka semula pada peranti ini.

Seterusnya, bateri peranti pula adalah 4,600mAh yang mana adalah sama dengan pendahulunya. Dengan kapasiti ini, ketahanan bateri adalah bergantung pada penggunaan. Pengalaman terdahulu kami menguji yang beberapa peranti dengan kapasiti bateri sebegini memperlihatkan bacaan SOT mencapai 5-6 jam boleh dinikmati untuk penggunaan yang ekstrem. Jika sebaliknya, peranti sudah semestinya tiada masalah untuk bertahan seharian untuk penggunaan yang ringan.

Namun, peningkatan ketara boleh dilihat menerusi sistem pengecasan pantas yang disokong oleh peranti ini. Ia dibekalkan sistem pengecasan pantas dengan kuasa output 100W untuk proses pengecasan jenis berwayar dan nirwayar. Menurut Honor, peranti mampu dicas penuh mencapai 100% dalam masa 30 minit. Sementara itu, sistem pengecasan nirwayarnya pula mampu mengecas penuh peranti dalam hanya 15 minit. Buat masa ini, kami bagaimana tidak dapat membuktikan sama ada dakwaan ini benar atau tidak keranan kekangan masa untuk mencuba prestasi bateri ini dengan lebih menyuluruh. Tetapi, kami akan mencuba melihat sendiri kebolehannya sekiranya berpeluang mendapat unit untuk ulasan pada masa akan datang.


Kesimpulan

Dalam penggunaan ringkas ini, Honor Magic 4 Pro dilihat menjanjikan perubahan yang besar untuk kali ini. Tetapi, penggunaan selama sekitar 30 – 40 minit, kami rasakan perubahan yang dilakukan sebenarnya tidaklah seperti yang dijanjikan. Macam yang boleh dilihat, rekaan peranti dilihat mengitar semula hampir sebahagian besar komponen pada model pendahulunya. Cumanya, saiz skrin kini lebih besar. Kemudian, beberapa fungsi kamera turut dikekalkan – seperti Honor Magic Log yang sebelum ini turut hadir pada Honor Magic 3. Namun, sudah semestinya terdapat beberapa peningkatan yang dilakukan dari aspek perisian.

Bagaimanapun, kami menyambut baik sokongan pengimbas cap jarinya yang berfungsi dengan baik. Bukan itu sahaja, kemasan glossy pada tubuh peranti turut mengekal nilai premium, di samping turut sama memberi penampakan peranti lebih menarik. Tambahan pula, tubuhnya yang bersaiz besar adalah menarik kerana landskap peranti dengan saiz skrin sebegini sudah menjadi pilihan kebanyakan pengguna masa kini. Kemudian, sistem pengecasan kini lebih pantas meskipun tiada peningkatan yang dilakukan untuk saiz kapasiti bateri pada peranti.

Honor Malaysia telah mengesahkan yang mana peranti pintar ini bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut mengenai harga jualan. Tetapi, Honor memaklumkan ia kelak mungkin dijual pada julat harga sekitar RM4,000.


Pro

  • Rekaan premium & selesa dipegang.
  • Sokongan GMS terbina.
  • Ciri Honor Magic-Log dengan kebolehan rakaman video berkualiti.
  • Perisian dengan sokongan sistem operasi terkini.
  • Pengecasan pantas dengan kuasa output mencapai 100W.

Kontra

  • Kapasiti bateri agak kecil.
  • Terdapatnya aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.

Komen ()