Lenovo hari ini memperkenalkan telefon gaming terbaru mereka, iaitu Lenovo Legion Y90. Buat masa ini, ia hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja.
Dengan fokus terhadap arena permainan video, ia turut hadir dengan spesifikasi tinggi. Lenovo Legion Y90 ini dilengkapi dengan skrin 6.92-inci AMOLED pada kadar segar semula 144Hz, sokongan HDR10+, dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, serta memori sehingga 18GB RAM. Pilihan storan paling tinggi turut hadir dengan gabungan 512GB UFS 3.1 bersama SSD – sekaligus membentuk sistem storan RAID 0 – sekaligus menawarkan prestasi operasi yang lebih pantas untuk membaca dan menulis.
Dengan fokus terhadap permainan video, ia turut menyertakan sokongan penyejukan, disamping butang khas untuk memudahkan kawalan permainan video.
Dari segi bateri, ia dilengkapi bateri 5600mAh dengan pengecasan pantas 68W – membolehkan ia dicas penuh dalam masa 38 minit.
Lenovo Legion Y90 turut menyertakan kamera utama 64-megapixel yang disatukan dengan kamera ultra-lebar 13-megapixel di belakang. Untuk swafoto, ia menyertakan kamera 16-megapixel di hadapan.
Buat masa ini, telefon pintar ini hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja, pada harga bermula 3999 Yuan, iaitu sekitar RM2660.