Carian
Sindiket Pelombong Kriptowang Haram Dengan Keuntungan RM50 Juta Sebulan Ditumpaskan Oleh SPRM
March 1, 2022 Nazrin

Sepanjang beberapa tahun ini, kami telah melaporkan banyak insiden dimana terdapat sindiket perlombongan kriptowang yang dilakukan secara haram yang ditumpaskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Terkini, nampaknya sindiket terbesar setakat ini telah sekali lagi berjaya dilumpuhkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan operasi sekaligus di beberapa lokasi di seluruh negara, termasuklah di negeri-negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan juga Kuala Lumpur.

Menurut laporan The Star pihak SPRM dilihat menghadapi masalah untuk memasuki premis-premis ini kerana ciri-ciri keselamatan yang hadir, dan juga penggunaan pintu-pintu seakan pintu peti besi yang melindungi premis-premis ini. Malah, beberapa daripadanya memerlukan bantuan daripada pihak Bomba untuk membuka pintu-pintu ini kerana mereka yang terlibat enggan untuk memberi laluan kepada pihak berkuasa.

Operasi oleh pihak SPRM dan TNB ini dilihat berjaya menahan 18 pesalah-laku, termasuklah ketua-ketua sindiket dan sekitar 200 pelombong kriptowang dari premis-premis mereka. Menurut pihak SPRM juga, melalui The Vibes, mereka telah merampas sekitar RM281 ribu wang tunai, RM82 ribu dalam dompet digital dan kriptowang bernilai $26 ribu (~RM100 ribu).

Sebab utama mengapa SPRM mengepalai operasi ini dilihat kerana sindiket melombong kriptowang haram ini ialah mereka telah cuba untuk menyogok para pekerja TNB dengan wang dan juga kriptowang untuk berpaling tadah kepada fakta bahawa operasi-operasi ini menggunakan tenaga elektrik yang dicuri di kesemua premis-premis tersebut.

Ia dijangkakan bahawa secara keseluruhan, sindiket melombong kriptowang ini meraih keuntungan sekitar RM50 juta sebulan, dan penggunaan kuasa elektrik di setiap satu premis mereka boleh mencecah sekitar RM40 ribu setiap bulan.

Pihak SPRM juga mengatakan bahawa melombong kriptowang pada dasarnya tidak salah, tetapi oleh kerana sindiket ini menggunakan tenaga elektrik secara haram, dan percubaan untuk menyogok pihak TNB dan juga SPRM itulah yang membuatkan mereka sama seperti penjenayah.

Sumber: The Star

Komen