Spesifikasi Penghantaran Data DisplayPort UHBR Yang Akan Digunakan Pada Sambungan DisplayPort 2.0 Diperlihatkan

Diterbitkan pada Mac 3, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

DisplayPort ialah teknologi sambungan paparan dan penghantaran data yang membolehkan pengguna untuk mengeluarkan output video, audio dan data dari peranti ke paparan dengan kadar penghantaran tinggi menggunakan satu kabel sahaja yang diperkenalkan oleh Video Electronics Standards Association (VESA).

Sehingga kini, kita memperlihatkan sambungan DIsplayPort 1.4 yang mampu menggerakkan satu paparan 4K pada kadar segar semula 144Hz ataupun dua paparan 4K 60Hz menggunakan satu kabel sahaja.

Terkini, VESA memperlihatkan spesifikasi piawaian penghantaran data DisplayPort Ultra High Bit Rate yang akan digunakan pada sambungan DisplayPort 2.0, dan ia hadir dengan beberapa spesifikasi baru yang pastinya akan menarik minat para pembina sistem komputer kelas bangsawan.

Pertama ialah sambungan DP UHBR ini mempunyai kadar penghantaran data yang cukup tinggi, sehingga 80Gbps untuk menyokong sejumlah besar konfigurasi paparan beresolusi tinggi seperti 8K 60Hz HDR, 4K 240Hz HDR, dua paparan 4K 120Hz HDR dan empat paparan 4K 60Hz HDR menggunakan satu kabel sahaja.

Untuk sambungan DisplayPort 2.0, VESA juga memperlihatkan dua kabel baru yang dinamakan DP40 dan juga DP80 yang hadir dengan sokongan untuk sambungan UHBR10 dan UHBR20. DP40 dilihat menepati piawaian UHBR10 (10Gbps) dan akan hadir dengan empat jaluran UHBR10 yang akan memberikannya sokongan kadar penghantaran data 40Gbps.

Untuk kabel DP80 pula, ia akan hadir dengan sokongan piawaian UHBR20 (20Gbps) dan juga akan mempunyai empat jaluran UHBR20 dengan kadar penghantaran data sepantas 80Gbps.

Setakat ini, VESA mengatakan bahawa ujian piawaian produk-produk untuk sokongan DisplayPort 2.0 sudahpun bermula, dengan pelbagai pembuat kad grafik dan juga paparan-paparan komputer kini menghantar produk-produk mereka untuk diuji.

Dari segi sokongan produk pula, VESA turut mengesahkan bahawa kabel DP40 dan DP80 masih lagi akan hadir dengan rekaan DisplayPort dan Mini DisplayPort sama sebelum ini, dan kabel-kabel terbaru ini boleh digunakan untuk menyambungkan peranti-peranti yang menggunakan teknologi DisplayPort 1.4, Reduced Bit Rate, High Bit Rate 1, 2 dan 3 tanpa sebarang masalah.

Sumber: VideoCardz

komen


© Amanz / 2022 Kami