AMD Dan Intel Menghentikan Jualan Cip Pemprosesan Ke Pasaran Rusia Dan Belarus

Diterbitkan pada Mac 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak peperangan diantara Rusia dan Ukraine bermula, pelbagai kerajaan dan pelbagai pertubuhan antarabangsa telah mengambil langkah untuk menjalankan sekatan ekonomi keatas Rusia.

Selain daripada kerajaan, ia dapat dilihat bahawa syarikat-syarikat seperti SWIFT, MasterCard, Visa, MAERSK dan sebagainya kini enggan melakukan sebarang perniagaan dengan negara tersebut

Terkini, AMD dan Intel, dua daripada syarikat pengeluar cip pemprosesan komputer dan mesin pelayan terbesar di dunia juga telah berhenti menjual cip-cip pemprosesan mereka kepada Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan ekonomi yang dikenakan keatas mereka.

Perkara ini disahkan sendiri oleh AMD dan Intel kepada Tom’s Hardware, dengan Intel mengatakan bahawa mereka mengecam aktiviti keganasan yang sedang dijalankan keatas rakyat negara Ukraine.

Ia dilihat bahawa kedua-dua syarikat ini telah menghentikan penghantaran dan penjualan cip pemprosesan dwi-guna untuk kegunaan pengguna dan juga ketenteraan, termasuklah cip-cip pemprosesan AMD Ryzen dan juga Intel Core.

Rusia juga mempunyai syarikat-syarikat cip semikonduktor mereka sendiri, tetapi seperti banyak syarikat semikonduktor yang lain, cip-cip ini dikilangkan oleh TSMC, yang juga dilihat telah menghentikan jalinan bisnes mereka dengan syarikat-syarikat Rusia ini sejak peperangan tersebut bermula.

Sekatan ini dilihat tidak akan memberikan kesan buruk kepada AMD dan Intel, tetapi untuk Rusia, apabila bekalan cip mereka habis digunakan, mereka akan menghadapi masalah untuk memperbaharui bekalan tersebut.

Sumber: Tom’s Hardware

komen


© Amanz / 2022 Kami