Motorola Edge 30 Pro merupakan salah sebuah peranti yang lengkap dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1. Di samping itu, terdapat juga beberapa lagi penawaran menarik lain padanya seperti kamera utama 50MP untuk kegunaan ultra-lebar dan makro, kamera swafoto 60MP, bateri dengan pengecasan 68W dan banyak lagi.

Bagi yang berminat, Motorola Edge 30 Pro kini sudah boleh dipratempah di Malaysia dengan tanda harga RM2,699 untuk sebuah. Ia boleh dibuat menerusi kedai atas talian rasmi Lenovo di Lazada dan Shopee bermula hari ini. Tarikh untuk penerimaan peranti pula dijangka sekitar 10 Mac 2022.

Untuk spesifikasi khusus, Motorola Edge 30 Pro dilengkapi skrin 6.7-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Melengkapinya juga adalah cip Snapdragon 8 Gen1, memori 12GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman 256GB (UFS 3.1). Bateri pula adalah sebesar 4,800mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 68W, pengecasan nirwayar 15W dan pengecasan nirwayar berbalik 5W.

Kamera utama pula adalah 50MP (ultra-lebar + makro) + 50MP (utama) + 2MP (kedalaman). Kamera juga dibekalkan kebolehan rakaman video mencapai 8K UHD/24fps. Sementara itu, kamera hadapan pula sebesar 60MP. Lain-lain spesifikasi adalah pengimbas cap jari sisi, pembesar suara stereo, bluetooth 5.2 dan banyak lagi.