MetaMask dan OpenSea kini dilihat mengharamkan pengguna dari beberapa buah negara yang disenarai-hitamkan oleh Amerika Syarikat, termasuk Iran dan juga Venezuela. Sejak daripada awal pagi ini, sejumlah pengguna dari negara berkenaan telah dapati akaun mereka hilang atau tidak boleh diakses – tanpa sebarang amaran.
Beberapa koleksi NFT turut dipadam di OpenSea disebabkan hal ini – yang mana membuatkan koleksi pembeli hilang begitu sahaja pada platform berkenaan.
Terdapat juga beberapa pengguna Iran yang berpusat di negara lain turut diharamkan – sekaligus menjadi tanda tanya bagaimana pengharaman dilakukan, memandangkan ia bukan berdasarkan kepada IP semata.
Apa pun, pengharaman ini sekaligus membawa kepada persoalan berkenaan Web3 yang sering dipasarkan sebagai terpencar – tetapi syarikat disebaliknya masih beroperasi seperti sejumlah syarikat lain pada hari ini yang berpusat di sesuatu lokasi. Disamping itu, mereka juga dilihat mengambil langkah pengharaman tanpa notifikasi – sekaligus tidak mengambil berat berkenaan konsep “komuniti” dan sebagainya yang diperkatakan.