Rekaan Xiaomi Watch S1 Active Tertiris Ke Arena Web

Diterbitkan pada Mac 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi Watch S1 sebelum ini telah dilancarkan dengan ketahanan bateri yang mencapai 12 hari lamanya. Ia juga hadir dengan tubuh yang baik bersama kemasan cukup mewah. Ia bagaimanapun hanya terhad untuk pasaran China sahaja setakat ini. Terkini, timbul desas-desus baharu yang mengatakan model kemaskini untuk peranti boleh-pakai berkenaan didapati tertiris dalam beberapa imej pengolokan yang tular.

Biarpun belum ada kepastian, namun menurut beberapa sumber jam tangan berkenaan akan dikenali sebagai Xiaomi Watch S1 Active. Seperti namanya, ia dikatakan hadir dengan reka bentuk yang lebih lasak berbanding model terdahulu. Bahan berasaskan logam akan digunakan untuk keseluruhan tubuhn, di samping penggunaan muka jam berbentuk bulat turut sama dikekalkan.

Seterusnya, ia juga akan menyokong dua butang fizikal yang terbina pada sisi muka jam untuk kawalan lebih menyeluruh. Butang ini tidak sama dengan yang terdahulu, sebaliknya dikhabarkan bersaiz lebih besar dengan rekaan seumpama yang terdapat pada Samsung Galaxy Watch 4. Seterusnya, rekaan tali pula adalah dari jenis silikon bersama cangkuk standard yang sinonim untuk aktiviti sukan.

Imej pengolokan turut menunjukkan jam tangan ini hadir dalam tiga kemasan warna berbeza seperti hitam, hijau dan putih. Menariknya di sini, kemasan berwarna hitam dan hijau didatangkan dengan warna bingkai jam yang sepadan dengan tali. Sementara itu, kemasan putih pula menampilkan bingkai muka jam yang berwarna perak.

Tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi yang dikongsi buat masa ini. Pada masa sama, pihak Xiaomi sendiri juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat yang dikongsi ini masih di peringkat ura-ura.

komen


© Amanz / 2022 Kami