Rusia Menghalang Akses Kepada Facebook dan Twitter

Diterbitkan pada Mac 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setelah akaun milik media tempatan dihalang dari mengakses pengiklanan, Roskomnadzor – badan penyelia atas talian Rusia mengambil tindakan menghalang terus akses kepada Facebook dan Twitter. Alasan “penyebaran berita palsu” dan 26 kes diskriminasi ke atas akaun milik media tempatan sejak Oktober 2020.

Sebelum ini akses ke kedua-dua laman media sosial utama dunia ini sekadar dihadkan oleh syarikat perkhidmatan Internet Rusia. Meta telah mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi presiden perhubungan antarabangsa mereka Nick Clegg bahawa tindakan Roskomnadzor akan menghalang warga Rusia dari mendapatkan berita, berhubungan dengan keluarga dan menyuarakan pendapat dengan bebas. Twitter pula mengesahkan perkhidmatan mereka mula dihalang tetapi akan memastikan ia masih boleh diakses dengan selamat.

Konflik Rusia-Ukraine telah berlarutan lebih seminggu dan setakat ini dipercayai telah meragut ribuan nyawa dari kedua-dua pihak. Penamatan bekalan cip, halangan perkhidmatan permainan video, penghentian produk Apple dan IKEA menutup gedung adalah antara langkah yang telah diambil bagi memaksa Presiden Putin untuk menghentikan serangan dan kembali ke meja perbincangan.

Sumber : Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami