Cari @ Amanz

Prestasi motosikal Ducati tidak perlu dicanang kerana mereka beberapa kali memenangi perlumbaan SBK. Dengan pedigri ini, mereka mula melebarkan sayap ke arena penghasilan motosikal elektrik pula. Tetapi sebelum ini Ducati telah mengeluarkan beberapa basikal elektrik menerusi kerjasama dengan Thok.

Terkini Ducati Futa telah dilancarkan sebagai basikal lumba elektrik pertama mereka sekali lagi dengan kerjasama Thok. Basikal diperbuat daripada bahan gentian karbon dengan tubuh aerodinamik bagi mengurangkan geseran udara. Hab elektrik pada bahagian belakang dilengkapi motor 250-W yang mampu memberikan bantuan kayuhan sehingga kelajuan 25 km/j.

Sistem gear elektronik nirwayar disertakan dengan terdapat sokongan untuk di kawal menggunakan peranti Android dan iOS. Bateri sebesar 250-Wh diletakkan pada palang hadapan tubuh tetapi disorokkan dengan baik. Sistem brek menggunakan cakera 160mm turut digunakan pada tayar depan dan belakang. Dengan kesemua komponen ini, basikal masih hanya seberat 12.4 kg. Sebuah Ducati Futa dijual pada harga bermula €7,690 (~RM35,117).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd