Sebenarnya, bukan susah untuk kekal sihat. Selain daripada mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, anda juga haruslah sekurang-kurangnya bersenam 3 kali dalam seminggu. Tidak semestinya perlu berlari, sebaliknya aktiviti senaman ringkas juga sudah memadai. Mengapa agaknya kami bercakap mengenai situasi ini? Baiklah, ia ada kaitannya dengan produk yang bakal kami kongsikan dalam artikel ulasan kali ini iaitu Oppo Watch Free.
Ini merupakan peranti boleh-pakai atau lebih tepatnya adalah penjejak kesihatan terbaru keluaran Oppo. Ia sudah tersedia di Malaysia dan boleh dibeli pada harga RM249 untuk seutas. Tidak seperti pendahulunya, Oppo Watch Free didatangkan dengan beberapa peningkatan lebih menarik. Namun begitu, mampukah ia memenuhi keperluan pengguna masa kini? Teruskan membaca untuk ketahui lebih lanjut mengenai penjejak kesihatan baharu keluaran Oppo ini.
Spesifikasi Ringkas
Spesifikasi | Oppo Watch Free |
Jenis | Jam tangan dengan penjejak kesihatan |
Paparan | 1.64-inci (26.3 mm) AMOLED 280 x 456 piksel |
Pemproses | – |
Muatan Dalaman | – |
Bateri | 230mAh Mod penjimatan bateri : sehingga 14 hari Mod pintar : sehingga 10 hari Mod berat : sehingga 5 hari |
SIM/Telefoni | Tidak |
Sensor | Pecutan, Giroskop, Pengimbas Nadi, Cahaya, Oksigen dalam darah. |
NFC | Tidak |
Inframerah | Tidak |
Tahap Ketahanan | 5 ATM |
Diameter | 42 x 42 x 11.6 mm |
Warna | Black & White |
Harga Jualan | RM449 |
Oppo Watch Free hadir dengan rekaan muka jam berbentuk segi empat dengan padanan tali bersaiz 46mm yang berasaskan bahan silikon. Kalau perasan, ia tidak lagi mengambil inspirasi daripada jam tangan pintar keluaran Apple seperti pendahulunya. Sebaliknya, muka jam kelihatan lebih memanjang dengan sisi yang melengkung. Bagaimanapun, skrin 1.64-inci yang digunakan pada jam tangan ini adalah lebih kecil berbanding 1.9-inci yang disertakan pada model terdahulu.
Seterusnya, tali turut boleh ditanggalkan dan ditukar ganti mengikut keperluan. Selain itu, terdapat juga jumlah lubang yang cukup bagi membolehkan ia digunakan oleh sebilangan lelaki mahupun wanita yang berlengan kecil. Rekaan pengatup pula adalah daripada penggunaan cangkuk yang standard, tetapi sedikit unik. Bagaimanapun, ia masih memudahkan penggunaan secara menyeluruh. Hanya sepasang tali disertakan dengan setiap pembelian. Pilihan tali rasmi yang disediakan oleh Oppo juga adalah agak terhad kepada dua pilihan warna iaitu putih dan hitam.
Penggunaan paparan berteknologi AMOLED turut dikekalkan pada model kali ini. Secara amnya, kecerahan dan keterangan warna skrin yang dihasilkan oleh paparannya cukup cantik. Pada masa sama, paparan turut mampu menghasilkan warna hitam yang pekat, di samping mempunyai sudut tontonan lebih baik. Seterusnya, resolusi pula adalah 280 x 456 piksel dengan kepadatan piksel mencapai 335 ppi. Kecerahan pada skrin turut sama boleh di laras secara manual mengikut kesesuaian terus daripada muka utama penjejak kesihatan ini. Bukan itu sahaja, paparan turut menyokong fungsi tambahan lain seperti kemampuan memaparkan 100% gamut warna DCI-P3.
Perbezaan ketara lain yang boleh dilihat adalah tiada sebarang kewujudan butang navigasi yang ditemui. Ini menandakan bahawa Oppo Watch Free menyokong kawalan sesentuh secara menyeluruh. Kami berpendapat, ada sesetengah pihak yang semestinya kurang senang dengan pendekatan yang digunakan oleh Oppo ini. Sebabnya, kewujudan butang fizikal dirasakan lebih membantu dalam memudahkan pelbagai penggunaan. Lebih-lebih lagi untuk tujuan menghidupkan paparan pada muka jam. Namun tidak dinafikan masih ada sahaja sebilangan pengguna yang selesa dengan rekaan sebegini.
Bercakap lebih lanjut mengenai tubuh peranti, ia hadir dengan gabungan bingkai aluminium bersama kaca tahan lasak yang melindungi muka jam. Bukan itu sahaja, ia juga memiliki jisim cukup ringan sekitar 30 gram yang membuatkannya hampir tidak terasa seperti dipakai. Perkara ini bersesuaianlah digunakan oleh individu yang aktif. Pada masa sama, skrin memanjang yang digunakan juga mampu melekap kemas pada tangan sewaktu ia digunakan. Untuk makluman, bahagian belakang penjejak kesihatan ini dibina menggunakan bahan berasaskan plastik. Ia turut sama menempatkan sensor denyutan nadi bersama dua pin untuk tujuan pengecasan menerusi dermaga tersendiri.
Bonus lain yang diberikan Oppo adalah kemampuan kalis air dengan tekanan sehingga 5ATM. Dengan kata lain, ia semestinya boleh dibawa berenang, tetapi terhad untuk aktiviti air yang cetek seperti kolam renang. Penggunaan untuk aktiviti air yang dalam seperti menyelam adalah tidak disarankan sama sekali. Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti kerosakan melampau berlaku. Menurut Oppo lagi, ciri kalis air juga tidak selamanya kekal berfungsi dengan baik. Sebaliknya, ia boleh menjadi lemah dari masa ke semasa. Seperkara lagi, sokongan panggilan telefon turut tidak boleh dilakukan pada Oppo Watch Free ini kerana ketiadaan pembesar suara dan mikrofon terbina padanya.
Aplikasi & Sambungan
Dari segi sambungan, ia menyokong bluetooth 5.0 bagi membolehkan kawalan dibuat menerusi peranti pintar. Ia juga boleh digunakan secara meluaskan pada kesemua peranti Android dan iOS yang sekurang-kurangnya menyokong sistem Android 5.0 dan iOS 9.0 ke atas. Namun begitu, tambatan pantas sudah semestinya boleh dibuat menerusi peranti Oppo dengan antara muka ColorOS 7.1 dan ke atas. Sebabnya, sambungan pada peranti lain perlu dilakukan secara manual. Bagaimanapun, aplikasi HeyTap Health masih perlu dimuat-turun terlebih dahulu menerusi gedung aplikasi Google Play dan AppStore untuk penggunaan yang lebih efisien. Ia bertambah melecehkan apabila melibatkan proses pendaftaran yang lama, di mana pelbagai data akan diambil.
Antara muka aplikasi adalah minimalis dengan rekaan dan susun atur yang tampak kemas. Sejujurnya, ia sangat mudah digunakan kerana amat mesra pengguna. Tetapi, penawarannya agak terhad dan asas. Melaluinya, pelbagai fungsi utama pada Oppo Watch Free boleh diakses dan dikawal secara terus menerusi papan pemuka utama. Sejurus aplikasi dibuka, ia menunjukkan nama pengguna, jenis peranti dan pelbagai tetapan penting lain yang berkaitan. Seperkara lagi, ia turut menyokong muka jam tersesuai berdasarkan pakaian semasa pengguna yang dinamakan sebagai AI Smart Watch Face. Di sini, pengguna hanya perlu mengambil gambar pakaian dengan corak atau warna yang disukai. Kemudian, teknologi AI akan menyesuaikan muka jam agar sepadan dengan penampilan semasa.
Pengalaman Penggunaan
Pada hemat kami, Oppo Watch Free adalah seutas penjejak kesihatan dengan kebolehan yang baik. Namun, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki pada masa akan datang. Editor kami yang mengujinya mempunyai saiz pergelangan yang sederhana. Oleh itu, tiada masalah untuknya membiasakan diri dengan penjejak kesihatan ini. Secara keseluruhan, ia memberi pengalaman penggunaan yang cukup selesa disebabkan oleh padanan saiz dan binaannya yang baik. Jumlah lubang yang diberikan juga adalah memadai tanpa sebarang masalah penggunaan setakat ulasan dibuat. Kemudian, tubuhnya yang dilihat mampu melekap dengan kemas pada pergelangan tangan turut membuatkan kami menyukainya.
Keseronokan turut ditambah lagi dengan penggunaan panel AMOLED yang baik. Ia kelihatan cukup terang dengan pewarnaan hitam yang benar-benar gelap. Melaluinya, kami juga mampu membaca setiap apa yang dipaparkan pada muka utama jam dengan mudah. Ini termasuklah penggunaan jam tangan ini di bawah cahaya matahari yang terang Cumanya, sedikit komen negatif yang perlu kami berikan pada tekstur tali silikon yang digunakan. Pada kami, ia terasa murah seakan memakai seutas jam tangan dengan harga jualan puluhan ringgit sahaja. Walau bagaimanapun, ia masih boleh dipakai dengan selesa sepanjang masa.
Bercakap mengenai prestasi, Oppo Watch Free boleh berfungsi dengan baik sepanjang ulasan dibuat. Tindak balas menunjukkan prestasi yang boleh di kategori sebagai memuaskan tanpa sebarang isu lengah masa yang melampau. Ini termasuklah penggunaan sewaktu jari dalam keadaan basah. Sensor-sensor yang disertakan juga mampu menjejak pelbagai parameter dengan baik. Menariknya, terdapat juga sensor mengesan oksigen dalam darah secara aktif secara berterusan. Ini adalah ciri yang cukup penting ketika pandemik dan bacaannya boleh digunakan untuk pemantauan kesihatan yang baik.
Seterusnya, kaedah pengumpulan data yang digunakan juga jelas, logik dan mudah difahami. Misalnya, fungsi pemantauan waktu tidur memaparkan data yang terperinci mengenai tempoh waktu tidur dan terjaga. Begitu juga dengan bacaan untuk aktiviti harian biasa seperti kiraan tapak dan bilangan senaman, kesemua paparan data nampak baik dengan tambahan graf yang cukup interaktif.
Seterusnya, fungsi AI Smart Watch Face turut sama mampu berfungsi dengan baik tetapi tidak banyak yang boleh diharapkan daripadanya. Ini disebabkan oleh hasil terakhir sama sekali tidak serupa dengan tangkapan gambar yang dibuat. Ia kelihatan hampir sama sahaja. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggunakan gambar peribadi sebagai hiasan antara muka jam tangan ini. Proses pertukaran antara muka mengambil masa sekitar 5 ke 10 saat.
Dari segi kawalan, tatalan skrin ke kanan akan memberi akses kepada sejumlah fungsi kesihatan terbina. Ini termasuklah aktiviti harian, pemantauan waktu tidur, bacaan denyutan jantung dan bacaan jumlah oksigen dalam darah. Seterusnya, tatalan skrin ke bawah pula membawa kepada akses pantas untuk sejumlah tetapan ringkas seperti lampu suluh, fungsi kalis air dan mod jangan ganggu. Tatalan skrin ke atas pula membolehkan notifikasi dilihat, sementara itu tatalan ke kiri membawa kepada sejumlah fungsi kesihatan terbina.
Bateri
Dengan bateri sebesar 230mAh, Oppo mengiklankan penjejak kesihatan ini mampu bertahan mencapai 14 hari lamanya. Ia bagaimanapun bergantung kepada penggunaan masing-masing. Di mana, ia mampu bertahan sehingga 10 hari untuk penggunaan sederhana, sementara itu 5 hari pula untuk penggunaan yang berat. Dakwaan ini adalah berasas, di mana penggunaan kami secara sederhana menunjukkan penjejak kesihatan ini mampu bertahan mencapai 9 hari dengan bateri berbaki kira-kira 40%.
Ini adalah penggunaan secara sederhana dengan sambungan bluetooth dan pengaktifan mod terbina secara berkala. Hayat bateri Oppo Watch Free juga adalah cukup baik bagi mereka yang malas mahu mengecas setiap hari. Proses pengecasan semula boleh dibuat menggunakan port pengecasan yang dari jenis tersendiri. Bagusnya, ia adalah dari jenis bermagnet yang mencengkam jam dengan kuat tetapi harus diletakkan pada arah yang sepatutnya. Proses pengecasan pula menawarkan masa yang agak pantas iaitu sekitar 1 jam.
Pesaing Setara
Oppo Watch Free | Redmi Watch 2 Lite | Realme Watch 2 |
1.64″ AMOLED 280 x 456 piksel, sesentuh | 1.55″ TFT, 360 x 360 piksel, sesentuh | 1.57″ TFT, 324 x 394 pixel,Sesentuh |
? | ? | ? |
? | ? | ? |
? | ? | ? |
? | ? | ? |
Bluetooth 5.0 | Bluetooth 5.0 | Bluetooth 5.0 |
Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, SpO2, | Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, SpO2, | Pengimbas nadi, barometer, accelerometer, SpO2, |
46.0mm x 29.7mm x 10.6mm | 41.2mm x 35.3mm x 10.7mm | 257.6mm x 35.7mm x 12.2mm |
Vanilla | Black | Ivory | Black | Blue | Black |
5 ATM | 5 ATM | IP68 |
230mAh | 262mAh | 315mAh |
Harga RM449 | Harga RM249 | Harga RM299 |
Apa Di Dalam Kotak
- 1 X Oppo Watch Free
- 1 X Dermaga pengecas USB-A
- 1 X Manual
Kesimpulan
Oppo Watch Free adalah model kemas kini untuk Oppo Watch sebelum ini. Terdapat juga perbezaan yang ketara dari segi rekabentuknya – di mana kali ini lebih memanjang dan tiada elemen Apple yang diambil dengan jelas. Malahan, ia skrin juga kini lebih kecil dengan saiz bezel yang boleh dikategorikan sebagai baik. Ia adalah penjejak kesihatan yang ringkas tetapi menarik. Ciri pemantauan oksigen dalam darah sepanjang masa adalah amat berguna di waktu pandemik sebegini. Sementara itu, ciri penjejak kesihatan lain turut memberikan prestasi yang memuaskan dengan kemampuan menjejak pelbagai parameter dengan baik.
Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa ruang yang perlu diperbaiki. Misalnya, kami berpendapat tali yang digunakan terasa murah. Pada masa sama, penggunaannya juga agak terhad dengan beberapa ciri utama tidak boleh diakses – seperti melakukan panggilan telefon. Bagi yang berminta, Oppo Watch Free dijual pada RM249 untuk seutas.
PRO
- Paparan skrin yang cantik – boleh dibaca dalam semua keadaan.
- Kemampuan kalis air.
- Ketahanan bateri cukup baik.
- Sokongan aplikasi yang baik pada Android dan iOS.
KONTRA
- Tiada sokongan aplikasi tambahan.
- Pilihan tali yang murah.
- Fungsi getaran yang lemah.