Pandang Pertama ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition – Ke Angkasa Kita

Diterbitkan pada Mac 8, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sewaktu acara Consumer Electronics Expo yang berlangsung di Las Vegas pada awal bulan Januari lalu, ASUS telah memperlihatkan sejumlah besar komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Alder Lake H terbaru, termasuklah siri komputer ASUS ZenBook 14X OLED.

Dengan model tersebut, ASUS turut memperlihatkan ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition, yang merupakan sebuah komputer riba edisi terhad yang dibangunkan bersempena ulang-tahun ke-25 untuk misi 600 hari komputer riba ASUS P6300 di angkasa lepas.

Nyahkotak

Secara lazimnya kami tidak akan bercerita terlalu banyak mengenai kotak dimana sebuah komputer riba disimpan. Tetapi untuk komputer riba ZenBook 14X OLED Space Edition ini, ASUS telah mereka sebuah kotak yang memperlihatkan betapa istimewanya komputer riba ini, khususnya untuk mereka yang mempunyai minat yang mendalam mengenai konsep angkasa lepas dan sci-fi.

Rekaan luaran kotak ini sahaja memperlihatkan betapa istimewanya komputer riba ini. Rekaan teks Space Edition yang kelihatan seperti logo NASA yang lama (sekitar 1970-1990an) bersama-sama dengan rekaan Stesen Angkasa Mir yang beroperasi dari 1986 ke 2001, termasuklah nombor ID stesen angkasa tersebut.

Apabila kotak ini dibuka, lebih banyak rekaan istimewa mengenai Space Edition dapat diperlihatkan di bahagian dalam kotak ini, termasuklah lokasi GPS pejabat ASUS Taiwan, dan di bahagian bawahnya, kotak dengan rekaan istimewa yang merumahkan komputer riba ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition ini.

Di sebelahnya pula ialah sebuah lagi kotak istimewa yang merumahkan adapter kuasa dan kabel komputer riba ini. Satu penambahan menarik yang dapat dilihat melalui kotak adapter kuasa ini ialah ia boleh digunakan sebagai sebuah tapak untuk membolehkan komputer riba ini digunakan secara lebih ergonomik, dan memberi alasan mengapa pengguna tidak perlu membuang kotak-kotak ini setelah mengeluarkan semua kelengkapan daripadanya.

Rekaan Komputer Riba

Apabila komputer riba ini dikeluarkan dari kotaknya, perkara pertama yang anda pasti akan perasan ialah paparan skrin OLED 3.5 inci yang hadir dengan rekaan bertemakan angkasa lepas yang menarik. Di sekeliling paparan OLED tersebut pula kelihatan kod Morse yang apabila ia dinyahkod, memperlihatkan kata-kata “Ad Astra Per Aspera”, ataupun To The Stars Through Hardship (Ke Angkasa Melalui Kesusahan).

Apabila bahagian paparan dibuka, ASUS ZenBook 14X OLED dilihat hadir dengan paparan OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2880×1800 bersama nisbah paparan 16:10 dan mempunyai kadar segar semula 90Hz yang pada pendapat kami adalah cukup baik sekali.

Bahagian papan kekunci komputer riba ini dilihat menggunakan rekaan chiclet sama seperti komputer-komputer riba ZenBook mereka yang lain, tetapi untuk model Space Edition ini, kekunci space bar dan butang kuasa mempunyai rekaan warna merah yang memberi sedikit warna kepada rekaan serba berwarna perak komputer riba ini.

Dari segi pilihan palam, ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition ini dilengkapi dengan satu palam USB 3.2 Type-A dan dua palam Thunderbolt 4 yang bukan sahaja boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini, tetapi juga untuk menyambungkan komputer riba ke paparan skrin melalui DisplayPort, dan juga satu palam HDMI 2.0b dan juga sebuah pembaca kad MicroSD.

Apa yang lebih menarik ialah komputer riba ASUS ZenBook 14X OLED ini diberikan nama Space Edition bukan untuk suka-suka sahaja. ASUS mengatakan bahawa ia melepasi piawaian dan ujian US Space Systems Command Standard SMC-S-016A yang membolehkannya digunakan dalam julat suhu ekstrim -24 darjah Celcius ke 61 darjah Celcius, dengan tahap gegaran 20-20,000Hz.

Spesifikasi

Komputer riba ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition ini hadir dengan beberapa spesifikasi, tetapi model yang dihantar kepada kami untuk pandang pertama ringkas ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-12700H, memori DDR5 sebanyak 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi penawaran grafik pula, oleh kerana komputer riba ini ditawarkan sebagai sebuah peranti yang memfokuskan kepada produktiviti, ia dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang boleh dikatakan cukup berkuasa untuk menggerakkan video pada resolusi tinggi dan juga sejumlah permainan komputer pada resolusi Full HD dengan tetapan tertentu.

Sayangnya kami tidak dapat menguji kemampuan sebenar komputer riba ini buat masa ini kerana apabila pandang pertama ini ditulis, Intel masih belum memperlihatkan lagi perisian pemandu yang rasmi untuk cip pemprosesan Alder Lake H mereka, tetapi daripada penggunaan ringkas kami, kami dapati bahawa ASUS ZenBook 14X OLED ini hadir dengan jangkahayat bateri yang boleh saya katakan agak lama, sekitar 6-7 jam dengan penggunaan produktiviti biasa seperti melayari web, menulis artikel dan menonton video di YouTube.

Fungsi-fungsi lain yang ditawarkan pada komputer riba ini termasuklah sokongan untuk WiFi 6E dan juga Bluetooth 5.2 yang menawarkan ciri sambungan nirwayar kepada aksesori dengan nilai lengah masa yang rendah.

ASUS ZenVision Display

Seperti yang dikatakan sebelum ini, ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition ini hadir dengan sebuah paparan sekunder di belakang bahagian paparan utama yang dinamakan ASUS ZenVision Display. paparan skrin OLED ini yang hadir dengan warna monokrom, hampir serupa dengan penawaran sama yang dilihat pada peranti ASUS ROG Phone 5 Ultimate.

Animasi asal yang diperlihatkan ialah seorang angkasawan yang kelihatan terapung di angkasa, tetapi animasi tersebut boleh ditukar dengan pelbagai rekaan lain melalui perisian MyASUS yang juga boleh memperlihatkan beberapa animasi berbeza seperti tahap bateri komputer riba dan lain-lain.

Penutup

ASUS ZenBook 14X OLED Space Edition ini hadir dengan sejumlah gimik banyak yang mungkin tidak diperlukan jika anda hanya mahukan sebuah komputer riba yang digunakan untuk tujuan produktiviti di pejabat dan rumah sahaja.

Tetapi jika anda seseorang yang suka akan fungsi-fungsi dan rekaan tambahan yang menjadikan komputer riba ini sesuatu yang unik dan memberikan anda sedikit pengalaman yang lain daripada yang lain, kami pasti ia adalah sesuatu yang anda tidak kisah untuk tunggu untuk dapatkan.

Buat masa ini, ASUS Malaysia mengatakan bahawa mereka akan membawa masuk komputer riba ini dengan kuantiti terhad tidak lama lagi, tetapi buat masa ini masih belum mengesahkan bilakah ia akan tiba, mahupun tanda harga yang akan ditawarkan kelak.

komen


© Amanz / 2022 Kami