Cari @ Amanz

Sejak dari generasi pertama lagi, telefon mudah alih dilengkapi skrin berbentuk empat segi. Yang membezakan peranti ialah saiz dan nisbah skrin sahaja. Hanya kebelakangan ini Samsung berani menawarkan peranti dengan skrin boleh-lipat. Berdasarkan paten yang telah mereka failkan, kelak peranti dengan skrin berbentuk huruf L pula akan dipasarkan.

Paten peranti dengan skrin lipat berbentuk L telah ditemukan laman Lets Go Digital. Ia telah difailkan oleh Samsung ke WIPO pada pertengahan 2021 dan telahpun dianugerahkan kepada mereka pada Januari 2022.

Skrin kecil berbentuk empat segi sama melipat ke belakang peranti untuk menjadi skrin sekunder. Tetapi jika diperlukan skrin boleh-lipat ini boleh dibuka ke hadapan sehingga keseluruhan skrin berbentuk L. Peranti turut dilengkapi dengan sistem tri-kamera di bahagian belakang.

Samsung membayangkan skrin ini digunakan untuk mengambil video mendatar walaupun peranti dipegang menegak. Ia juga berguna untuk menonton video mendatar dengan skrin lebih besar dengan peranti masih dipegang menegak. Kewujudan paten tidak bermakna peranti akan dihasilkan dalam masa terdekat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd