Rekaan Sony Xperia 10 IV Tertiris Menunjukkan Penggunaan Tri-Kamera Utama

Diterbitkan pada Mac 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebuah peranti Sony dengan nama Xperia 10 IV kini tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular. Ia ditemui menerusi perkongsian OnLeaks dengan kerjasama Zoutons.ae yang memberi gambaran penuh mengenai reka bentuk yang dibawakan oleh peranti. Dalam pada itu, beberapa bakal disokong oleh peranti turut sama disenaraikan.

Imej menunjukkan tubuh peranti menggunakan binaan berkotak dengan skrin sejenis rata dan sisi yang membulat. Saiz skrin dijangka sebesar 6-inci dengan paparan berteknologi OLED. Turut melengkapinya adalah pengimbas cap jari yang diletakkan di sisi yang turut berfungsi sebagai butang kuasa. Di samping, bicu audio 3.5mm pada bahagian atas peranti. Tidak ketinggalan, peranti juga dikhabarkan menawarkan pembesar suara berasaskan stereo.

Seterusnya, panel belakang peranti pula memperlihatkan kewujudan sistem tri-kamera yang disusun secara menegak dalam modul kamera berbentuk bujur. Turut kelihatan, sokongan LED Flash yang diletakkan secara berasingan dengan modul kamera tersebut. Setakat yang diketahui, Sony Xperia 10 IV akan didatangkan dalam beberapa kemasan warna seperti hitam, putih, hijau dan biru.

Spekulasi awal juga mengatakan peranti akan menyokong memori sebesar 6GB RAM dengan storan dalaman 128GB. Pada masa sama, ia turut sama menjalankan sistem operasi Android 12 dan dibekalkan bateri sebesar 4,000mAh. Buat masa ini, belum ada sebarang tarikh pelancaran rasmi untuk peranti yang dikongsikan.

Sumber : OnLeaks , Zoutons.ae

komen


© Amanz / 2022 Kami