Digital Nasional Berhad sedia memperkenalkan rangkaian 5G mereka sejak bulan Disember 2021 lepas, dimana pada awalnya ia telah ditawarkan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan juga Putrajaya.
Menariknya, kini melalui kemaskini pada halaman peta liputan, DNB turut memperlihatkan mereka kini dalam proses pembangunan beberapa tapak 5G baharu – termasuk di Selangor, Johor, Perak dan juga Pulau PInang. Tapak-tapak baharu ini masih pada peringkat pembangunan, dan masih belum boleh digunakan orang ramai lagi.
Walaupun kerajaan masih belum hadir dengan pengumuman akhir berkenaan pelaksanaan pemborong rangkaian tunggal atau sebaliknya, DNB dilihat telah pun memulakan proses memperluaskan rangkaian – selari dengan sasaran kerajaan untuk mempunyai sekitar 80% liputan dalam beberapa tahun lagi.
Buat masa ini, peranti yang menyokong rangkaian 5G milik DNB masih terhad, dan dijangka akan diperluaskan secara berperingkat. Mengikut data yang turut diterbitkan, ia memperlihatkan kadar kelajuan purata 5G yang ditawarkan adalah 626.13Mbps.
Bagi anda yang berminat untuk mencubanya, boleh mendapatkan kad SIM 5G secara percuma daripada Yes, dan mengujinya hari ini.