Tidak dapat dinafikan, barisan peranti keluaran Samsung memiliki kumpulan peminatnya yang tersendiri. Kebiasaannya, mereka menawarkan tawaran yang agak mahal pada siri Galaxy S dan Galaxy Z. Namun, mereka bijak memberi pilihan lain buat pengguna yang mahukan sebuah peranti yang seimbang baik dari segi spesifikasi dan tanda harga yang baik menerusi Galaxy A.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, kewujudan untuk Samsung Galaxy A53 5G bukanlah suatu hal yang baharu, Sebaliknya, ia sudah kerap kali diperkatakan dalam beberapa laporan lepas. Ini termasuklah rekaan dan spesifikasi untuk peranti. Pada pandangan mata kasar, peranti dilihat memiliki rekaan yang sepenuhnya sama seumpama model terdahulu. Namun sebenarnya terdapat perkara yang berbeza, di mana tiada lagi sokongan untuk bicu audio pada model kali ini. Ia mungkin perubahan yang kecil, tetapi mungkin kurang disenangi oleh sesetengah pihak.
Dalam pada itu, spesifikasi untuk peranti kini tertiris sekali lagi dengan lebih terperinci. Menurut perkongsian terkini di Twitter, peranti akan dikuasakan oleh cip Exynos 1280 dengan padanan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Ini adalah berbeza dengan desas-desus sebelum ini yang mendakwa peranti mungkin lengkap dengan cip Exynos 1200 dan memori sehingga 8GB RAM.

Seterusnya, peranti juga akan menggunakan paparan AMOLED sebesar 6.5-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Di samping itu, paparan juga adalah sejenis berlubang yang menempatkan kamera swafoto tunggal sebesar 32MP. Sistem kuad-kamera turut sama digunakan dengan tetapan 64MP (utama) + 12MP (ultra-lebar) + 5MP (makro) + 5MP (kedalaman). Tidak ketinggalan, kamera juga dikatakan turut menyokong rakaman video dengan tetapan tertinggi mencapai 8K/24fps.
Tidak habis di situ, peranti turut sama menyokong bateri sebesar 5000mAh dengan pengecasan pantas 25W. Tapi perlu ditegaskan, kepala pengecas sama sekali tidak akan disertakan di dalam kotak pembelian. Lain-lain spesifikasi yang mungkin menyokong termasuklah menjalankan antaramuka OneUI 4.0 berasaskan Android 12, port sambungan USB-C dan sebagainya.

Samsung dijangka memperkenalkan siri Galaxy A baharu mereka sekitar bulan ini. Antara model yang bakal diumumkan kelak termasuklah Samsung Galaxy A33, Galaxy A53 dan Galaxy A73. Namun begitu, tiada sebarang tarikh pelancaran rasmi khusus yang dikongsikan setakat ini. Namun, kita boleh menyasarkan ia bakal didedahkan dalam masa terdekat ini.
- Sumber
- Sumber : Android Police