Carian
Adobe Menamatkan Jualan Produk Dan Akses Creative Cloud Di Rusia
March 8, 2022 Effi Saharudin

Halangan ekonomi mula dikenakan kepada Rusia sejak mereka menyerang Ukraine dua minggu lalu. Satu demi satu jenama dan perkhidmatan perbankan mula menghentikan sokongan kepada pelanggan di Rusia serta Belarus. Kini giliran Adobe pula menyusul dengan ia menghentikan jualan produk dan menghalang akses kepada perkhidmatan atas talian mereka.

Perkhidmatan popular Adobe Creative Cloud, Adobe Document Cloud, dan Adobe Experience Cloud pula telah dihalang dari diakses oleh media milik kerajaan Rusia. Ini sekaligus membuatkan aplikasi tidak boleh dilancarkan dan aset yang disimpan pada storan awanan terkunci. Akses oleh pengguna orang awam masih lagi dibenarkan pada waktu ini.

Pelbagai halangan ekonomi yang dikenakan adalah bagi memberi tekanan kepada pentadbiran Presiden Putin untuk menghentikan serangan ke atas Ukraine. Adobe mengikuti langkah Apple, Samsung, TSMC, Google, Netflix dan banyak lagi syarikat teknologi yang menarik perkhidmatan mereka dari pasaran Rusia.

Komen