Cari @ Amanz

Seperti yang diketahui umum, Huawei Nova 9 SE bakal diumumkan secara rasminya pada 11 Mac 2022. Ia menjadi model kemas kini untuk siri Nova 9, di samping turut sama meneruskan tradisinya yang memfokuskan kepada kebolehan kamera cukup baik. Menariknya kali ini, sokongan kamera dengan sensor utama 108MP menjadi pertaruhan Huawei.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, spesifikasi pada peranti pintar telah dikongsi lebih awal sebelum pelancaran rasmi. Ia mendedahkan peranti akan mempunyai skrin sebesar 6.78-inci dengan padanan saiz bezel yang nipis. Ia juga dibekalkan dengan sistem kuad-kamera dengan tetapan 108MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (kedalaman) + 2MP (makro), manakala kamera hadapan pula sebesar 16MP.

Sistem kamera juga dikatakan mempunyai prestasi yang baik untuk tangkapan gambar dalam kebanyakan situasi termasuklah pencahayaan rendah. Pada masa sama, ia juga menyokong kebolehan. Dual-View Video Mode untuk kemudahan membuat vlog, selain turut sama bersesuaian digunakan oleh para pencipta kandungan.

Seterusnya, peranti juga hadir dengan bateri sebesar 4,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Tidak ketinggalan, peranti juga dilihat bakal menyokong kebolehan akses pantas untuk pemindahan fail daripada telefon ke komputer riba menerusi ciri Easy Connect. Ia sekaligus memberi gambaran sepertinya peranti kelak bakal menyokong antara muka EMUI 12.

Setakat ini, itu sahaja informasi berkaitan peranti yang diketahui. Namun, salah satu perkara yang menjadi pertanyaan adalah apakah cip pemprosesan yang bakal digunakan oleh peranti ini? Berapa varian memori yang bakal tersedia kelak? Seperti biasa, sama-sama nantikan pelancaran rasminya untuk penawaran penuh. Kekal dengan kami di Amanz untuk kemas kini selanjutnya termasuklah harga jualan peranti.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd