Cari @ Amanz

Pagi ini, Apple telah melancarkan peranti iPhone paling mampu-milik terbaru mereka, iaitu iPhone SE yang hadir dengan cip pemprosesan A15 Bionic yang digunakan dalam siri peranti iPhone 13 mereka, menjadikan peranti ini sebuah peranti yang sangat berkuasa.

Ia juga hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G, tetapi nampaknya sokongan untuk rangkaian internet ultra-pantas tersebut dilihat sedikit terhad, dimana berbeza dengan siri peranti iPhone 13, iPhone SE terbaru ini nampaknya tidak akan hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G mmWave.

Perkara ini disahkan oleh PCMag, yang diberitahu oleh jurucakap rangkaian AT&T yang mengatakan bahawa peranti tersebut tidak hadir dengan sokongan untuk rangkaian internet pantas tersebut. Lebih dari itu, AT&T juga mengatakan bahawa iPhone terbaru ini tidak akan boleh menyambung ke rangkaian 5G yang menggunakan frekuensi 3.45GHz mereka yang dipanggil Andromeda di Amerika Syarikat.

Buat masa ini, AT&T mengesahkan bahawa iPhone SE akan menyokong rangkaian 5G mereka yang menggunakan C-Band di 46 buah negeri di sekitar Amerika Syarikat, tetapi tidak pada kelajuan yang ditawarkan pada rangkaian mmWave dan juga 3.45GHz.

Tetapi perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana rangkaian Andromeda ini hanya boleh dimanfaatkan oleh peranti Samsung Galaxy S22 buat masa ini.

Di Malaysia, peranti iPhone 12 dan 13 juga masih belum boleh mengakses rangkaian 5G tempatan yang dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad. Malah, buat masa ini, hanya syarikat telekomunikasi Yes dilihat menggunakan rangkaian tersebut dengan Telekom Malaysia hanya akan membuat pengumuman baru sekitar penghujung Mac ataupun bulan April kelak tentang pelan rangkaian 5G mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd