Vivo X80 Pro dan X80 Pro+ Dijangka Hadir Dengan Kamera 50MP, Pengecasan Pantas 80W

Diterbitkan pada Mac 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo sering memberi tumpuan kepada sejumlah inovasi menarik, terutamanya untuk barisan peranti di bawah siri X. Setakat ini, terdapat sejumlah fungsi menarik yang telah disertakan pada peranti-peranti berkenaan dan tumpuan utama diberikan kepada kebolehan kamera dan pengimejan yang baik.

Ini termasuklah sistem gimbal dengan kebolehan yang baik, sokongan sensor ZEISS yang bermula daripada model siri Vivo X60 dan penggunaan cip pengimejan (ISP) kendiri V1 pada siri Vivo X70. Bagaimanapun, perlu diketahui yang mana penggunaan cip V1 ini hanya terhad untuk model Vivo X70 di pasaran China sahaja setakat ini.

Dalam perkembangan terkini, timbul desas-desus baharu mengenai kewujudan siri Vivo X80. Setakat diketahui, peranti akan hadir dalam dua model berbeza yang terdiri dengan Vivo X80 Pro dan Vivo X80 Pro+. Dalam masa yang sama, spesifikasi untuk kedua-dua peranti juga dilaporkan telah tertiris dalam beberapa ciapan yang tular di Twitter.

Ia menunjukkan Vivo X80 Pro akan dilengkapi skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada ia akan disertakan dengan paparan jenis melengkung atau sebaliknya. Seterusnya, cip MediaTek Dimensity 9000 dijangka digunakan dengan padanan memori mencapai 8GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman sehingga 256GB (UFS 3.1). Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan turut sama menyokong cip pengimejan (ISP) kendiri V1 untuk pengalaman penggambaran yang baik.

Vivo X70 Pro

Bersama-sama dengannya, sistem operasi Android 12 turut digunakan yang berasaskan antara muka terkini Vivo. Sistem kuad-kamera dengan tetapan 50MP + 12MP + 12MP + 12MP, sementara itu kamera hadapan pula sebesar 32MP. Kapasiti bateri pula sebesar 4,700mAh yang turut sama menyokong pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 50W. Lain-lain spesifikasi termasuklah NFC, pengimbas cap jari dalam skrin dan sebagainya.

Untuk Vivo X80 Pro+ pula, ia dikatakan sebuah peranti dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1. Saiz skrin adalah sama iaitu 6.78-inci AMOLED, tetapi ia menyokong resolusi QHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Di samping itu, pilihan memori pula boleh mencapai 12GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman pula sehingga 512GB (UFS3.1).

Vivo X60 Pro

Kamera utama terdiri dengan tetapan 50MP + 48MP + 12MP + 12MP dan ia dikatakan menyokong sensor keluaran ZEISS. Sementara itu, kamera hadapan pula adalah sebesar 44MP. Kapasiti bateri adalah sama dengan versi pro, di mana ia menyokong bateri 4,700mAh dengan kebolehan pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 50W. Sebagai bonus tambahan, peranti turut menyokong penarafan kalis air IP68, di samping sokongan motor getaran paksi-X untuk kesan haptik yang lebih baik.

Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti. Pada masa sama, Vivo juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang tular ini. Maka dengan ini adalah lebih baik sekiranya kita menganggapnya sebagai spekulasi awal semata-mata.

komen


© Amanz / 2022 Kami