Cari @ Amanz

Apple baru sahaja melancarkan beberapa peranti baru pagi ini, seperti iPhone SE 2022 dengan sokongan rangkaian 5G, iPad Air yang menggunakan cip pemprosesan M1 dan juga Mac Studio yang menggunakan cip M1 Ultra baru, iaitu gabungan dua cip M1 Max.

Walaupun begitu, ia tidak bermakna bahawa ura-ura mengenai peranti-peranti akan datang oleh syarikat tersebut tidak akan tertiris ke arena web. Hari ini, analisa pasaran Ming-Chi Kuo telah hadir dengan butiran bahawa MacBook Air akan datang masih lagi akan menggunakan cip pemprosesan Apple M1 yang sama, tetapi rangka komputer riba tersebut akan sedikit berbeza berbanding sebelum ini.

MacBook Air 2018

Ini cukup menarik kerana ura-ura lain dilihat mengatakan bahawa MacBook Air yang akan dilancarkan pada tahun ini akan menggunakan cip pemprosesan Apple M2 baru yang akan hadir dengan lapan teras pemprosesan dan prestasi yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Selain daripada itu, beliau juga mengatakan bahawa MacBook Air terbaru ini masih tidak akan menggunakan panel MiniLED, tetapi akan hadir dengan rekaan yang lebih memiripi sebuah komputer riba MacBook Pro berbanding dengan rekaan serba nipis MacBook Air sebelum ini.

Ia juga dikatakan akan hadir dengan sejumlah pilihan warna baru, sama seperti komputer iMac yang diperkenalkan yang mempunyai sejumlah warna-warna yang cukup menarik sekali.

Dari segi pelancaran dan pengeluaran, Ming-Chi Kuo mengatakan lagi bahawa ia akan mula dibangunkan pada suku kedua tahun ini, dan akan diperkenalkan secara rasmi pada suku ketiga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd