Redmi K50 Bakal Diumumkan Pada 17 Mac – Lengkap Dengan Tri-Kamera Utama

Diterbitkan pada Mac 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Redmi K50 Gaming Edition sedia diperkenalkan dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1 dan pengecasan pantas 120W sebagai antara titik jualan utama peranti. Pada masa sama, edisi terhad Mercedes-AMG Petronas F1 turut sama diumumkan sebagai pilihan tambahan buat para pengguna.

Redmi K50 Gaming Edition

Tidak lama selepas pelancaran tersebut, muncul pula pelbagai laporan mengenai kewujudan siri Redmi K50. Sebenarnya kalau diikutkan, peranti ini sudah agak lama diperkatakan namun semakin menjadi sebagai salah satu topik perbualan sejak kebelakangan ini. Ini termasuklah mengenai rekaannya yang tertiris dalam imej pengolokan tular, cip pemprosesan yang bakal disokong dan sebagainya.

Enggan terus berteka-teki, Redmi kini berkongsi tarikh pelancaran rasmi untuknya menerusi kemas kini baharu di Weibo, sebentar tadi. Ia menunjukkan peranti akan dilancarkan secara rasminya pada 17 Mac 2022 dalam sebuah acara pelancaran yang bakal berlangsung di China. Turut dikongsi adalah rekaan pada peranti yang memperlihatkan sokongan sistem tri-kamera utama yang disusun secara membulat.

Jika diteliti dengan baik, ia didatangkan dengan dua modul kamera yang masa satu lagi menempatkan LED Flash berbentuk memanjang. Perkataan “108MP” yang disertakan padanya turut menunjukkan dengan jelas yang mana peranti kelak menyokong sensor utama sebesar 108MP. Namun, menjadi persoalannya di sini, masih tidak diketahui model yang manakah akan menggunakan rekaan dan fungsi yang diperlihatkan ini.

Sebabnya, Redmi dijangka hadir dengan sekurang-kurangnya tiga model berbeza. Ini termasuklah Redmi K50, Redmi K50 Pro dan Redmi K50 Pro+. Mengikut perkiraan, pelancaran ini bakal berlangsung lebih kurnag seminggu daripada sekarang. Seperti biasa, segalanya bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak. Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Weibo

komen


© Amanz / 2022 Kami