Rangkaian peranti di bawah siri Huawei Nova sering memfokuskan terhadap kebolehan kamera yang baik. Pendekatan ini membolehkan Huawei terus berusaha beri yang baik dalam mempertaruhkan sebuah peranti yang berkait rapat dengan generasi hari ini.
Terbaharu, Huawei Nova 9 SE telah diperkenalkan secara rasmi dengan fokus yang sama tetapi tawaran terkini menerusi sensor 108MP. Setakat diketahui, ia juga merupakan peranti terawal Huawei yang dibekalkan dengan kebolehan tersebut. Bagi yang berminat, ia ditawarkan pada RM1099 dan boleh didapati dalam beberapa pilihan warna seperti Blue, Midnight Black dan Pearl White.
Pembelian boleh dibuat bermula 11 – 18 Mac 2022 menerusi beberapa saluran berbeza seperti kedai atas talian rasmi Huawei, Shopee, Lazada dan pengedar sah rasmi Huawei di seluruh Malaysia. Menariknya, pembelian juga melayakkan anda untuk menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM560 – ia terdiri dengan Huawei Freelace dan sejumlah perkhidmatan Huawei. Ia bagaimanapun tertakluk pada konsep siapa cepat, dia dapat.
Untuk spesifikasi, Huawei Nova 9 SE dilengkapi skrin sebesar 6.78-inci dengan saiz bezel yang nipis pada paparan utama. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 680, memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bateri pula sebesar 4000mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W.
Melengkapinya adalah sistem kuad-kamera dengan tetapan 108MP (utama) + 8MP (sudut-lebar) + 2MP (kedalaman) + 2MP (makro). Sementara itu, kamera hadapan pula sebesar 16MP yang boleh digunakan untuk tangkapan gambar swafoto dan panggilan video. Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan EMUI 12, menyokong Huawei AppGallery, port sambungan USB-C dan sebagainya.