MyEG sedia terkenal dengan penawaran atas-talian melibatkan perkhidmatan kerajaan – seperti perbaharui lesen, cukai jalan dan sebagainya. Hari ini, MyEG turut memperluaskan pelaburan mereka dalam arena rantaian-blok, dan memperkenalkan laman dagangan NFT mereka tersendiri, dinamakan NFT Pangolin.
NFT atau nama penuhnya “non-fungible token” merupakan salah satu bentuk geran untuk aset digital, dan agak popular dalam memasarkan karya seni digital pada masa kini.
NFT Pangolin menyokong Ethereum buat masa ini, tetapi NFT Pangolin ini juga akan menyokong rangkaian rantaian-blok Zetrix Layer 1, yang mana akan turut selari dengan rantaian-blok kebangsaan China.
Penggunaan rantaian-blok ini akan memastikan yuran transaksi rendah berbanding Ethereum biasa, dan pada masa yang sama turut boleh digunakan di pasaran China tanpa halangan. Ia sekaligus akan membolehkan para penerbit aset digital turut memasarkan koleksi NFT mereka untuk pasaran China yang mempunyai lebih 1 bilion rakyat.
Platform NFT ini turut menyokong ciri seperti “lazy-minting” dimana kos penerbitan ditanggung oleh pembeli, dan juga menawarkan perkhidmatan pemasaran untuk para penerbit NFT di platform berkenaan.
MyEG mengatakan dengan pengenalan NFT Pangolin ini, mereka menyasarkan untuk menjadi platform pilihan bagi para penerbit kandungan dari rantau ASEAN, selain turut menyasarkan pengguna global.
NFT Pangolin juga mengatakan mereka akan turut membolehkan jual-beli karya seni fizikal melalui platform mereka. Pada masa yang sama, dalam bulan-bulan akan datang, NFT Pangolin dijangka bekerjasama dengan sejumlah artis dalam berkongsi karya melalui platform ini.