TikTok Shop Bakal Diperkenalkan Di Malaysia – Saingi Shopee, Dengan Penghantaran Percuma

Diterbitkan pada Mac 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

TikTok sedia digunakan secara meluas oleh para pengguna Malaysia, dan terkini pihak TikTok telah mula mengumpulkan pendaftaran para penjual tempatan dalam usaha memperkenalkan TikTok Shop tidak lama lagi.

Dengan TikTok Shop, penjual boleh menyenaraikan produk, dan seterusnya pengguna lain membeli terus tanpa perlu meninggalkan aplikasi TikTok. Seperti Shopee, sejumlah promosi dan diskaun boleh ditawarkan penjual, dan melalui perkongsian awal, TikTok mengatakan TikTok Shop akan menawarkan sokongan penghantaran percuma. Dua kategori penghantaran akan ditawarkan – iaitu “Ship by TikTok” (dengan pilihan rakan logistik TikTok) atau “Ship by Seller” (ditentukan oleh penjual).

TikTok Shop juga akan diintegrasikan pada fungsi carian di aplikasi berkenaan secara terbina, selain boleh diintegrasikan bersama siaran langsung pada TikTok – membolehkan anda mempromosikan dan menjual pada waktu yang sama. Sebuah ikon khas akan ditambah pada halaman profil pengguna sekiranya mempunyai TikTok Shop, dan yang lain boleh menyemak produk yang ditawarkan dengan mudah melalui halaman tab berkenaan.

Untuk pengguna, anda boleh menambah beberapa mod pembayaran. Ciri pembayaran sewaktu penerimaan (COD) turut akan disediakan dengan had sehingga RM10,000 pada TikTok Shop di Malaysia.

Memandangkan TikTok Shop ditawarkan pada platform TikTok yang terkenal dengan pelbagai kandungan ringkas – mengikut data awal di beberapa negara lain, hasil jualan melaluinya dilihat lebih tinggi berbanding beberapa platform lain.

Bagi para penjual tempatan yang berminat, anda sudah boleh mendaftar minat untuk menyertai TikTok Shop hari ini. Di rantau ini, TikTok Shop telah pun aktif di Indonesia. Dengan pencarian para penjual di Malaysia, kita mungkin melihat ia diperkenalkan sekitar tahun ini di sini.

Daftar : TikTok Shop

komen


© Amanz / 2022 Kami