Menurut data WHO, jumlah kematian akibat Covid-19 sudah melepasi 6 juta. Tetapi menurut kajian terkini yang diterbitkan di jurnal Lancet dan telah menjalani proses penilaian setara, jumlah sebenar kematian sudahpun melepasi 18 juta di peringkat global.

Data kematian dari hampir 200 negara dikumpul untuk tahun 2020 dan 2021 bagi mendapatkan angka kematian yang paling tepat oleh penyelidik Institute for Health Metrics and Evaluation, di University of Washington. Bagi mendapatkan anggaran kematian Covid-19 yang lebih tepat, angka kematian berlebihan dari kebiasaan diambil dan dibandingkan dengan data kematian dari 11 tahun terdahulu.
Kajian mengambil kira kematian yang diakibatkan secara terus oleh virus dan juga komplikasi pesakit tidak dapat mendapatkan rawatan ke hospital seperti kanser misalnya. Di negara-negara Sub-Sahara Afrika, Eropah Timur, Eropah Tengah, Amerika Latin, dan Amerika Tengah jumlah kematian berlebihan yang tinggi dicatatkan. Tetapi di negara seperti Iceland, Australia, Singapura, New Zealand, dan Taiwan jumlah kematian berlebihan negatif dicatatkan kerana kawalan Covid-19 yang baik.