TikTok Dalam Perbincangan Dengan Oracle Untuk Menyimpan Data Pengguna Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Mac 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda ingat pada tahun 2020, TikTok hampir diharamkan di Amerika Syarikat kerana kerisauan mengenai penyimpanan data pengguna negara tersebut di China. Terdapat juga percubaan untuk ByteDance menjual pegangan TikTok ke syarikat-syarikat Amerika Syarikat, tetapi cita-cita tersebut turut terkubur.

Terkini, TikTok dilihat sedang dalam perbincangan dengan Oracle untuk menyimpan data pengguna Amerika Syarikat di negara tersebut setelah pengharaman aplikasii tersebut ditangguhkan selepas Joe Biden mengambil-alih sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Walaupun TikTok dibenarkan beroperasi di negara tersebut, terdapat juga sejumlah badan perisikan di negara tersebut yang menzahirkan kerisauan mengenai butiran pengguna yang disimpan di negara tersebut.

Kerjasama dengan Oracle ini, sekiranya ia berlaku dilihat sebagai langkah pertama untuk pihak ByteDance memberi kepercayaan kepada kerajaan Amerika Syarikat bahawa mereka tidak mempunyai niat untuk memberi butiran rakyat negara tersebut ke kerajaan China. Ia juga dilihat cukup menarik kerana Oracle sebelum ini merupakan salah satu syarikat-syarikat Amerika yang berminat untuk mengambil-alih pemilikan TikTok daripada ByteDance.

TikTok kini dilihat mempunyai lebih satu bilion pengguna aktif di seluruh dunia, dan kini ia bukan sahaja sebuah platform video yang digunakan hampir 1/7 dunia, tetapi sebuah platform dimana syarikat-syarikat boleh melakukan aktiviti jual-beli, perkongsian kandungan dan sebagainya.

komen


© Amanz / 2022 Kami