Google Message Kini Boleh Hantar Video Resolusi Tinggi Dan Terima Reaksi iMessage

Diterbitkan pada Mac 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google masih tidak berpuas hati dengan Apple kerana mengehadkan penggunaan iMessage dan tidak ingin menggunakan RCS sebagai mod pemesejan baharu yang lebih moden. Walaupun begitu, untuk tidak memberikan pengguna Android rasa ketinggalan, bulan lepas pengguna Google Message mula boleh melihat reaksi iMessage jika rakan menghantar mesej menggunakan iPhone.

Baru-baru ini, ciri ini dikembangkan untuk semua pengguna Google Message dan tidak lagi terhad kepada pengguna beta. Apa jua reaksi dihantar daripada iMessage, pengguna Google Message boleh lihat emoji pada setiap mesej untuk menjadikan perbualan lebih ceria.

Untuk RCS, Google mula menawarkan kemampuan menghantar video resolusi tinggi. Tetapi dengan kaveat, iaitu pengguna perlu kongsi pautan Google Photos yang mengandungi video tersebut untuk ia boleh ditonton pada kualiti tinggi dan bukan kualiti rendah. Kelak, ciri ini turut akan boleh dilakukan pada imej-imej dalam Google Photos pula.

Mengembangkan lagi kemampuan RCS untuk pengguna Android. Google Message turut kini boleh memberi nudges atau sejenis peringatan yang tidak menyemakkan untuk mengikuti mesej yang terlepas, lupa dibalas atau juga peringatan hari jadi rakan atau yang tersayang. Melaluinya, pengguna boleh balas dengan pelbagai pelekat daripada Emoji Kitchen yang mempunyai lebih 2000 pilihan.

Google Message di India sudah bertahun mempunyai ciri mesej tersusun mengikut kategori dan ciri keselamatan untuk mesej yang mengandungi kod OTP. Mesej boleh tersusun mengikut peribadi, kerja, bil dan banyak lagi malah mesej OTP boleh terpadam secara automatik dalam masa 24 jam. Ciri ini kini dikembangkan ke pengguna di Amerika Syarikat, tetapi tidak pasti bila ia akan diperluaskan lagi ke lebih banyak negara.

komen


© Amanz / 2022 Kami