Twitter Tidak Lagi Memaparkan Ciapan Mengikut Kronologi Garis Masa Secara Lalai

Diterbitkan pada Mac 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Twitter adalah satu perkhidmatan media sosial yang cukup popular. Tetapi dengan tidak begitu dengar akan maklum balas pengguna, ramai pengguna Twitter berang terhadap keputusan yang Twitter lakukan pada platform mereka.

Antaranya adalah ciapan yang tidak boleh disunting, ciri asas yang perlu dibayar melalui Twitter Blue, serta menggunakan algoritma untuk memaparkan ciapan yang sesuai dengan corak pengguna berbanding memaparkan mengikut kronologi garis masa.

Untuk paparan ciapan mengikut garis masa, Twitter sebelum ini telah menawarkan pilihan untuk memilihnya sendiri pada ikon seakan bintang di busu atas aplikasi. Kini secara lalai, tab pertama pada Twitter adalah Home untuk memaparkan ciapan mengikut algoritma dan sebelahnya pula adalah Latest Tweet untuk ciapan mengikut kronologi garis masa. Ikon di bucu atas kini berubah dengan memberi pilihan untuk membuang Latest Tweet dari disemat pada skrin utama aplikasi.

Saya sudah lama menggunakan ciri ini, tidak pasti sama ada kerana Twitter Blue atau ujian A/B. Tetapi ciri ini amat menjengkelkan kerana saya sudah biasa dengan tatalan Twitter mengikut kronologi. Dengan ciri ini saya kerap melihat ciapan yang sudah lama diciap dan bukan yang terkini kerana kerap tersilap memilih tab ketika menggunakan Twitter.

Ciri ini terhad untuk pengguna iOS dan akan diedarkan ke pengguna Android dan web di masa akan datang. Apa kata anda mengenai ciri ini?

Sumber : Twitter Support

komen


© Amanz / 2022 Kami