Cari @ Amanz

Vivo Malaysia telah mengemaskini harga jualan untuk dua buah peranti bawah siri Y mereka. Peranti yang dimaksudkan adalah Vivo Y15A dan Vivo Y15s – di mana, kedua-duanya dijualkan pada harga lebih rendah berbanding penawaran asalnya. Melaluinya, Vivo Y15A kini berharga RM599 (RRP : RM649), sementara itu Vivo Y15s pula boleh dibeli pada RM499 (RRP : RM559). Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi kedai atas talian Vivo Malaysia bermula hari ini.

Untuk spesifikasi khusus, Vivo Y15A didatangkan dengan skrin bersaiz 6.51-inci LCD dengan resolusi HD+ (1600 x 720 piksel). Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Helio P35, memori 4GB RAM, memori dalaman 64GB dan bateri sebesar 5000mAh. Lain-lain spesifikasi termasuklah sistem dwi-kamera dengan tetapan 13MP+2MP dan kamera hadapan pula adalah 8MP. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong sambungan bluetooth 5.0, port pengecasan microUSB dan sebagainya.

Vivo Y15s pula lengkap dengan skrin 6.51-inci IPS LCD HD+, dijana cip MediaTek Helio P35, memori 3GB RAM, storan 32GB dan bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan 10W sahaja. Kamera utama 13+2 MP dipadankan pula dengan kamera swafoto 8MP. Sokongan rakaman video hanyalah sehingga 1080P 30FPS sahaja. Selain itu Y15s menggunakan sistem operasi Android 11 Go edition dengan pelancar Funtouch 11.1.

Sumber : Vivo Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd