MSI, jenama komponen, peranti dan aksesori gaming baru-baru ini memperlihatkan sebuah siri paparan gaming baru yang dinamakan MSI MPG Artymis yang hadir dengan paparan bersaiz 27 inci dan menggunakan panel Rapid IPS yang menggabungkan olahan warna yang ranggi dan juga kadar segar semula paparan yang pantas.
MSI memperlihatkan dua model, iaitu MSI MPG Artymis 273CQR-QD dan juga MSI MPG Artymis 273CQRX-QD yang mana kedua-duanya hadir dengan paparan bersaiz 27 inci dengan resolusi WQHD (2560×1440) dengan lengkungan 1000R.
Perbezaan diantara kedua-dua model ini dilihat dari segi kadar segar semula yang ditawarkan, dimana model 273CQR-QD hadir dengan kadar segar semula 165Hz, manakala model 273CQRX-QD menawarkan kadar segar semula 240Hz.
Dari segi olahan warna, kedua-dua paparan ini boleh memperlihatkan 128 peratus gamut warna sRGB dan 95 peratus gamut warna DCI-P3 untuk olahan warna yang lebih jitu. Lengkungan paparan 1000R turut membantu dalam meningkatkan keasyikan menonton video dan juga pengalaman gaming.
Kedua-dua paparan skrin ini juga, yang menggunakan teknologi Quantum Dot hadir dengan nilai kecerahan 400nit dan mempunyai sokongan AMD FreeSync Premium Pro yang bukan sahaja boleh dimainfaatkan oleh kad grafik AMD Radeon terbaru, tetapi juga NVIDIA GeForce RTX untuk pengalaman gaminig yang tiada cacat cela.
Dari segi I/O, paparan MPG Artymis 1000R dilengkapi dengan palam DisplayPort 1.2a, HDMI 2.0b dan juga USB 3.2 Type-C yang juga boleh digunakan sebagai palam DisplayPort yang juga menyokong resolusi dan kadar segar semula penuh.
Bukan itu sahaja, paparan MPG Artymis 1000R ini juga hadir dengan ciri-ciri tambahan seperti Optix Scope, Smart Crosshair, Night Vision dan suis KVM yang membolehkan pengguna mengawal dua komputer melalui paparan skrin yang sama.
Setakat ini, MSI masih belum mengatakan bilakah paparan skrin ini akan ditawarkan.