Tahun lalu Xiaomi 11 menjadi pembunuh peranti mercu tahun 2021 dengan penawaran spesifikasi yang mantap tetapi pada harga yang tidak memerlukan pembeli menjual ginjal mereka di pasaran gelap. Berdasarkan komen yang ditinggalkan pembaca, Xiaomi 12 tahun ini turut amat dinantikan pengguna di Malaysia keran ramai menantikan kemunculannya.

Dengan peranti secara rasmi dilancarkan di Malaysia hari ini, kami berjaya mendapat akses kepada Xiaomi 12 Pro lima hari lebih awal. Kerana ini bukanlah masa yang mencukupi untuk mengulas peranti dengan lengkap, kami terbitkan dahulu pandang pertama Xiaomi 12 Pro terlebih dahulu.
Spesifikasi Dan Rekaan
Xiaomi 12 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.73″ OLED, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256 UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50+50+50 Megapixel f/1.9+f/1.9+f/2.2, Zum Optikal 2X, Ultra sudut lebar, OIS |
Kamera Swafoto | 32 Megapixel |
Bateri | 4600 mAh Pengecasan berwayar 120W Pengecasan nirwayar 50W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin optikal |
Harga Jualan | RM 3899 (12/256GB) |
Sebagai model yang paling mercu dalam keluarga Xiaomi 12 setakat ini (dengan Xiaomi 12 Ultra dilaporkan telah ditangguhkan, Xiaomi 12 Pro tidak lokek dengan skrin yang sesuai dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu. Skrin 6.73″ yang digunakan adalah dari keluarga OLED LTPO yang menawarkan kadar segar semula antara 1 hingga 120Hz secara adaptif. Ini meletakkan teknologi skrin 12 Pro setanding dengan yang ditemukan pada S22 Ultra yang telahpun ditawarkan di Malaysia.
Skrin melengkung sedikit pada bahagian sisi sama seperti pada S22 Ultra cuma dengan bucu yang lebih dibulatkan. Wajah peranti tidak banyak berbeza dengan Xiaomi 11 Ultra cuma ia masih mempunyai lubang keram berbentuk bulat di hadapan. Xiamo belum bersedia menggunakan teknologi kamera bawah skrin pada siri 12 Pro tahun ini.

Satu kelebihan ketara skrin 12 Pro ialah ia menyokong format HDR Dolby Vision yang jarang sekali disokong pada peranti Android. Paparan warna dan keterangan skrin adalah memuaskan dalam tempoh pendek kami menggunakan peranti ini, penstriman kandungan Dolby Vision boleh dilakukan menerusi aplikasi Netflix tetapi tidak pula pada Disney+ Hotstar. Sedikit aneh kerana Xiaomi 11 Lite 5G NE disokong kedua-dua platform penstriman ini tahun lalu. Besar kemungkinan sokongan akan diberikan menerusi kemas kini selepas peranti dilancarkan kelak.
Sungguhpun begitu skrin memang cantik, terang dan tajam dengan isu kami hanyalah ia masih menggunakan pengimbas cap jari dari jenis optikal. Pengimbas ini tidak begitu pantas dan kadang kala tidak mengesan jari sekiranya basah. Perkara positif mengenai pula ialah kedudukannya yang agak tinggi menjadikan proses mengimbas cap jari selesa tidak seperti yang kami alami pada peranti Realme 9 Pro+ sebelum ini. Ia juga hadir dengan pengimbas nadi terbina. Jika anda mahu mengimbas nadi letakkan sahaja jari pada pengimbas dan mengakses ciri Heart Rate yang disertakan.

Tubuh diperbuat daripada logam dan kaca panel bahagian belakang. Tetapi ikhlas kami katakan panel belakang peranti hitam yang kami ulasan ini terasa lebih mirip polikarbonat dengan tubuh terasa rompong. Panel mempunyai kemasan kasar yang tidak berkilat dan hasilnya ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Bingkai logam terasa premium di dalam tangan dan hasilnya ialah Xiaomi 12 Pro sangat selesa digunakan walaupun peranti mempunyai tubuh yang agak besar.
Peranti ini juga terasa berat di dalam tangan yang meningkatkan lagi pengalaman ia sebagai sebuah peranti mercu premium. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi sebelah kanan. Ianya tegap dan terletak pada lokasi yang mudah diakses.

Pemancar infra merah diletakkan pada bahagian atas bersama dengan kekisi speaker. Ya peranti ini dilengkapi pembesar suara stereo Harman Kardon dengan kedua-duanya menembak ke sisi bagi menawarkan kekuatan audio yang seimbang. Sistem audio Dolby Atmos turut disertakan sekali dan ia boleh digunakan dengan speaker. Akhir sekali sebuah talam dwi-SIM nano dan port pengecasan USB-C diletakkan pada bahagian bawah. Seperti hampir kesemua peranti mercu moden, tiada bicu audio 3.5mm atau slot kad mikro SD disertakan pada Xiaomi 12 Pro.

Bonggol peranti masih lagi besar seperti tahun lalu dengan salah satu lensa lebih besar dari dua yang lain. Ini sekadar kosmetik dan ilusi optik kerana saiz lensa sebenar pada ketiga-tiga sensor sebenarnya sama. Gimik tahun ini nampaknya menggunakan lensa luaran lebih besar dari saiz sebenar yang dipopularkan oleh Apple 13 Pro Max tahun lalu.
Akibatnya bonggol kamera adalah besar dan membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Nasib baik Xiaomi memberikan sebuah kerangka lutsinar dengan setiap pembelian bagi memastikan bukan sahaja lensa kamera terlindung dari sebarang kerosakan tetapi juga bonggol logam yang agak ketara ini.

Dari segi spesifikasi pula Xiaomi 12 Pro ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 sama seperti Xiaomi 12. Ini ialah cip kelas mercu lapan teras 4nm dengan 1x teras Cortex-X2, 3X teras Cortex A710 dan 4x teras Cortex-A510 yang dipadankan pula dengan GPU Adreno 730. Ini ialah cip terbaik boleh digunakan pada peranti mercu Android setakat ini.
Cip padu dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 256GB UFS 3.1 untuk pasaran Malaysia. Jika RAM anda rasakan tidak mencukupi, ciri RAM Extension boleh menambah 3GB lagi memori secara maya. Xiaomi tidak membawa masuk model dengan 8GB RAM dan storan 512GB ke Malaysia. Pilihan yang agak terhad sedangkan peranti tidak menyokong kad mikro SD. Kami ingin merungut kerana selepas menggunakan peranti pintar lebih sedekad, fail-fail lama dari peranti terdahulu semakin banyak dan storan 256GB pada hemat kami sudah boleh dianggap kurang memadai.

Kamera utama memadankan lesan sudut lebar 50MP, telefoto 50MP dan ultra sudut lebar 50MP. Sokongan zum optikal ialah sehingga 2X dan digital pula sehingga 20X sahaja kerana ketiadaan sistem periskop. Hanya lensa sudut lebar sahaja nampaknya menggunakan sistem penstabilan imej optikal OIS. Di hadapan pula kamera swafoto menggunakan sensor 32MP.
Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 4600 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W menerusi port USB-C. Pengecas ini disertakan sekali dengan setiap pembelian dan oleh itu bakal pembeli tidak perlu berbelanja lebih. Aneh sekali pengecas masih lagi menggunakan kabel USB-A ke USB-C. Pengecas yang dibekalkan mempunyai saiz yang cukup besar dan juga berat. Kelebihannya ialah kerana output kuasanya yang tinggi, ia turut boleh digunakan untuk mengecas komputer riba sekiranya diperlukan.

Pengecasan nirwayar ialah sehingga 50W yang juga adalah lebih pantas dari kebanyakan peranti secara berwayar. Tidak berakhir di sini peranti turut boleh melakukan pengecasan nirwayar berbalik dengan output kuasa 10W.
Melengkapi spesifikasi peranti ialah menyokong rangkaian WiFi 6, Bluetooth 5.2, dan kesemua sistem GPS. Sedikit aneh tiada langsung sebarang piawaian kalis air pada sebuah peranti mercu ini sedangkan kami merasakan ia sepatutnya wajib disertakan. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.
Penggunaan Dan Perisian
Android 12 dipadankan dengan pelancar MIUI 13 dengan antaramuka yang paling ceria digunakan pada peranti Android. MIUI menarik kerana menawarkan ikon yang beranimasi serta pelbagai ciri tambahan yang tidak disertakan pada Android stok. Harus kami akui sedap mata memandang MIUI 13 kerana rekaannya kini semakin matang tidak lagi sekadar ingin mengajuk estetik iOS.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, kemas, dibulatkan dengan warna yang terang. Penggunaan terasa lancar kerana skrin menyokong kadar segar semula 120Hz. Kami tidak sedari sebarang insiden kadar bingkai tersekat-sekat ataupun aplikasi gagal dilancarkan. Dengan spesifikasi tahap mercu, pengalaman menggunakan Xiaomi 12 Pro turut terasa mercu.
Isu yang masih ada ialah perkara berbangkit pada kesemua peranti MIUI sejak berkurun lamanya iaitu paparan iklan banyak dalam aplikasi. Setiap satunya diaktifkan secara lalai dan perlu dimatikan satu persatu secara manual oleh pengguna. Xiaomi masih belum mengotakan janji untuk membuang semua bentuk pengiklanan dalam antaramuka MIUI.

Antara ciri menarik pada MIUI 13 adalah seperti berikut.
- Control Center Style – Mengubah antaramuka talam notifikasi dan pintas pantas
- Sidebar – Talam sisi untuk melancarkan aplikasi kegemaran.
- Floating Windows – Aplikasi dilancarkan dalam tingkap yang terapung pada skrin.
- Second Space – Melancarkan dua aplikasi yang sama dengan akaun berbeza.
- Lite Mode – Mod ringkas untuk warga tua dengan ikon yang lebih besar.
- Heart Rate – Menjejak nadi menggunakan pengimbas cap jari.

Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah paling tinggi pernah dilihat pada peranti Android. Markah adalah seperti berikut.
- Geekbench 5 – 1220/3506 Markah
- Antutu 3D – 950,056 Markah
Markah yang dicatatkan Xiaomi 12 Pro adalah sedikit lebih tinggi berbanding Galaxy S22 Ultra juga dengan Snapdragon 8 Gen 1 iaitu 1217/3360 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 917,034 markah dalam ujian Antutu 3D. Sebagai perbandingan lagi Apple A15 Bionic mencatatkan 1716/4678 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 789,647 dalam ujian Antutu 3D. Dari segi kemampuan GPU, jelas Snapdragon 8 Gen 1 mempunyai kelebihan dan sebaliknya pula dalam ujian CPU.

Kamera
Sistem tri-kamera 50+50+50 MP digunakan pada Xiaomi 12 Pro yang menjadikannya lebih baik berbanding 50+8+13 MP yang digunakan pada Xiaomi 11 Pro tahun lalu. Pada bahagian hadapan pula sensor 32MP digunakan untuk kamera swafoto.
Penekanan tahun ini ialah menawarkan prestasi kamera yang lebih seimbang tetapi tanpa sistem zum periskop. Zum digital hanya sehingga 2X dan zum digital pul adalah sehingga 20X. Sama ada ini tindakan yang bernas bagi menyimpan kemampuan sebenar pada Xiaomi 12 Ultra ataupun tidak hanya akan diketahui di masa hadapan. Yang boleh kami berikan ialah beberapa sampel gambar di bawah yang sempat kami ambil.
Berdasarkan sampel dapat dilihat prestasi kamera dalam situasi pencahayaan yang baik adalah amat memuaskan dengan imej yang tajam serta penghasilan semula warna yang baik. Kekurangan hanya dapat dilihat apabila kamera perlu melakukan zum melangkaui 4X dan menghasilkan imej yang kelihatan sedikit lembut lebih-lebih lagi di waktu malam.








Pesaing
Xiaomi 12 Pro | Apple iPhone 13 Pro Max | Samsung Galaxy S22 Ultra |
6.73″ OLED, 1440 x 3200, 120Hz, Dolby Vision, (521 ppi) | 6.7″ Super Retina XDR OLED, 11284 x 2778, 120Hz, Dolby Vision, (458 ppi) | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3080, 120Hz, HDR10+, (500 ppi) |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Apple A15 Bionic (5nm) 2 X ? GHz Avalanche 4 X ? GHz Blizzard | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Apple GPU 5 Teras | Adreno 730 |
12 GB LPDRR5 | 6 GB | 8/12 GB LPDDR5 |
256 GB UFS 3.1 | 128/256/512/1000 GB NVMe | 128/256/512 UFS 3.1 |
Kamera Utama 50+50+50 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/1.9) OIS | Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.5+f/1.8+f/2.8), 3D ToF, IBIS | Kamera Utama 108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/4.9+f/2.4) OIS |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.4 |
Tidak kalis air | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4600 mAh (Berwayar 120W) | 4352 mAh (Berwayar 20W) | 5000 mAh (Berwayar 45W) |
Harga RM3899 | Harga bermula RM5299 | Harga bermula RM5099 |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Xiaomi 12 Pro
- 1x Kerangka silikon lutcahaya.
- 1x Pengecas 2 pin 120W
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
Kesimpulan
Dengan spesifikasi yang mantap dan harga yang lebih mampu milik berbanding pesaing terdekat mereka, Xiaomi 12 Pro pastinya akan menjadi antara peranti yang menarik perhatian pengguna. Pada waktu ini selain kelebihan pada harga jualan, 12 Pro juga mempunyai kelebihan dari segi prestasi Snapdragon 8 Gen 1 yang lebih baik serta binaan peranti yang mantap. Klise peranti Xiaomi terasa murah di dalam tangan tidak lagi boleh digunapakai pada tahun 2022.

Yang menjadi persoalannya sekarang adalah ia masih “mampu milik” dari sudut pandangan peminat Xiaomi? Pada harga RM3899 ia masih belum cukup murah bagi kebanyakan pengguna. Ditambah pula dengan peranti mempunyai sedikit kekurangan kerana tidak kalis air serta kamera tanpa zum optikal yang tinggi. Setakat ini dari pandangan pertama kami 12 Pro masih mempunyai lebih banyak Pro berbanding Kontra untuk membolehkan Xiaomi mengekalkan status sebagai pembunuh peranti mercu sebenar. Untuk ulasan penuh Xiaomi 12 Pro, nantikan kemunculannya pada minggu hadapan.
Pro
- Peranti terasa premium di dalam tangan.
- Skrin 120Hz Dolby Vision.
- Snapdragon 8 Gen 1 ialah cip paling berkuasa Android setakat ini.
- Pengecasan pantas sehingga 120W disokong.
- Pengecas dan kerangka disertakan dengan setiap pembelian.
- Harga yang lebih kompetitif berbanding pesaing.
Kontra
- Tiada kemampuan kalis air.
- Zum optikal hanya 2X.
- Tiada slot kad mikro SD.
- MIUI 13 masih mempunyai iklan.