Individu Ditangkap Kerana Cuba Untuk Menyeludup 160 Keping CPU Intel Ke China

Diterbitkan pada Mac 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Penyeludupan komponen komputer ke pasaran China bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia sentiasa menarik untuk dibaca kerana teknik-teknik yang digunakan untuk membawa masuk komponen ini, yang sebenarnya diselia secara sangat serius oleh kerajaan tersebut.

Terkini, badan kastam China telah menangkap seorang individu yang mencuba untuk menyeludup sebanyak 160 cip pemprosesan Intel kedalam negara tersebut dengan melekatkan cip-cip pemprosesan tersebut ke badannya.

Menurut laporan Tom’s Hardware, individu tersebut dilihat cuba untuk menyeludup masuk gabungan cip pemprosesan Intel generasi ke-11 dan ke-12 yang baru dengan melekatkan komponen-komponen ini di bahagian abdomen, pinggang dan pahanya.

Selain daripada 160 cip pemprosesan tersebut, beliau turut dilihat cuba untuk membawa masuk peranti-peranti boleh-lipat, tetapi butiran model yang cuba diseludup masuk tidak diketahui lagi.

Semalam kami ada melaporkan bahawa XFX, sebuah jenama komponen komputer sendiri telah ditangkap cuba untuk menyeludup masuk kad grafik mereka dengan menipu label untuk membayar cukai pada kadar yang sedikit.

Walaupun China dilihat sebagai pusat global untuk pengeluaran komponen, nampaknya komponen-komponen ini tidak dapat dinikmati oleh rakyat negara tersebut.

komen


© Amanz / 2022 Kami