Xiaomi 12 Pro Kini Rasmi Di Malaysia – Berharga RM3,899

Diterbitkan pada Mac 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi 12 Pro telah pun dilancarkan di China pada Disember 2021 tahun lalu. Malam ini, Xiaomi telah mengadakan acara pelancarannya untuk pasaran global serta untuk pasaran tempatan.

Peranti Xiaomi 12 Pro dilengkapi dengan skrin 6.73″ AMOLED 2K dengan kadar segar semula 120Hz, HDR Dolby Vision dan perlindungan kaca Gorilla Glass Victus. Peranti ini sudah tentu dijana dengan cip paling berkuasa di pasaran sekarang iaitu Snapdraon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1. Bateri adalah 4600 mAh dengan pengecasan pantas sehingga 120W serta dengan pengecasan nirwayar pantas 50W. Untuk menyokong pengecasan ini, Xiaomi membangunkan cip kendiri Surge P1.

Beralih ke bahagian kamera, kamera utama hadir dengan sistem tri-kamera daripada sensor 50MP sudut lebar, 50MP ultra sudut lebar dan 50MP telefoto dengan sokongan penstabilan OIS. Sistem pemfokusan CyberFocus turut diperkenalkan untuk penjejakan fokus objek yang pantas. Sementara untuk swafoto sensor 32MP digunakan. Kamera utama mampu merakam video sehingga resolusi 8K 30FPS. Untuk audio, Xiaomi 12 Pro hadir dengan 2 speaker utama dan 2 tweeter yang masing-masing menembak ke sisi dengan kerjasama Harman/Kardon serta turut menyokong Dolby Atmos.

Xiaomi 12 Pro turut menjalankan MIUI 13 yang berasaskan Android 12, tidak seperti peranti Redmi yang masih lagi berasaskan Android 11. Kemaskini perisian yang ditawarkan adalah 3 tahun untuk sistem operasi dan 4 tahun kemaskini tampalan sekuriti. Peranti ini turut mengekalkan lagi sensor infra merah, pengimbas cap jari bawah skrin, dan paling mengecewakan peranti paling mercu Xiaomi ini masih tidak menyertakan perlindungan IP68.

Di Malaysia, Xiaomi menjual peranti ini pada harga RM3,899 untuk variasi 12GB RAM dan 256GB storan dalaman. Pra-tempahan akan bermula pada hari ini 15 Mac sehingga 23 Mac dan mereka yang terawal akan menerima 1 kali jaminan skrin dalam masa 6 bulan pertama, 2 tahun jaminan peranti dan hadiah bernilai sehingga RM 2,197.

komen


© Amanz / 2022 Kami