Xiaomi 12 adalah peranti pertama Xiaomi dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Ia sudah pun dilancarkan di China pada Disember tahun lalu. Dengan pelancaran variasi global berlaku pada malam ini, Xiaomi Malaysia turut mendedahkan harga jualan rasmi untuk pasaran tempatan.

Peranti ini dilengkapi dengan skrin 6.28″ AMOLED FHD+ 120Hz, menyokong Dolby Vision dan dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus. Ia dijana cip Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1. Hanya beza 100mAh dengan Pro, Xiaomi 12 menggunakan bateri sebesar 4500 mAh dan hanya menyokong pengecasan pantas 67W serta pengecasan nirwayar pantas 50W.

Peranti ini tidak dinafikan kelihatan sama sahaja dengan versi Pro, tetapi ia lebih kecil. Malah kamera utama juga sama iaitu sensor 50MP sudut lebar. Akan tetapi dua lagi sensor adalah 13MP ultra sudut lebar dan 5MP sensor makro dan bukan kesemuanya menggunakan 50MP. Sistem seperti rakaman video 8K dan sokongan CyberFocus serta kamera swafoto 32MP juga sama dengan Pro.

Untuk audio Xiaomi menggunakan pembesar suara stereo yang ditala oleh Harmon/Kardon dan turut menyokong Dolby Atmos. Sensor infra merah juga masih dikekalkan, serta untuk sekuriti Xiaomi menyertakan dengan pengimbas cap jari bawah skrin. MIUI 13 adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini dan ia adalah berasaskan Android 12.


Xiaomi Malaysia menjual peranti ini pada harga RM2,999 untuk variasi 8GB RAM dan 256GB storan dalaman. Xiaomi turut menawarkan variasi lebih mampu milik iaitu 8GB RAM dan 128GB storan dalaman pada harga RM2,899. Pra-tempahan akan bermula pada hari ini 15 Mac sehingga 23 Mac dan mereka yang terawal akan menerima 1 kali jaminan skrin dalam masa 6 bulan pertama, 2 tahun jaminan peranti dan hadiah bernilai sehingga RM 2,197.
- Muat Turun
- Beli Di Sini