UTG atau Ultra Thin Glass adalah nama komersial bagi kaca ultra nipis yang digunakan untuk peranti dengan skrin boleh-lipat. Ia mula digunakan pada peranti Galaxy Z Flip dan diteruskan pada peranti Galaxy Z Fold2, Fold3 dan Flip3. Tidak dinafikan yang UTG adalah lapisan terbaik berbanding plastik yang digunakan pada Z Fold pertama yang tidak kukuh dan banyak isu.
Ini tidak bermakna peranti Z Flip dan Z Fold2 ke atas tiada isu seperti retak secara tiba-tiba. Isu ini berlaku kepada sekumpulan kecil pengguna sahaja. Sehingga hari ini saya masih menggunakan Z Fold2 dan skrin masih lagi dalam keadaan baik.
Untuk Z Fold4 dan Z Flip4 akan datang, Samsung dikhabarkan akan menggunakan kaca UTG serba baharu. Ia dikatakan akan lebih tahan lasak dan lebih berkualiti berbanding yang sedia ada. Selain itu, Samsung juga dikatakan akan menekankan lapisan kaca baharu mereka ini dengan mungkin nama seperti Super UTG atau yang berkaitan dengannya. Harapnya dengan kaca UTG baharu yang lebih tahan lasak ini, ia akan menjadikan peranti dengan skrin boleh-lipat Samsung lebih yakin digunakan oleh orang ramai.
Samsung dijangka akan melancarkan Z Fold4 dan Flip4 pada Ogos akan datang, bersama-sama dengan Galaxy Watch5 yang dikatakan akan hadir dengan sensor suhu kulit serta bateri lebih besar. Sama-sama kita nantikan.
- Sumber: Naver