Carian
Ulasan Samsung The Freestyle – Projektor Stylo Sebesar Tin Milo
March 16, 2022 Effi Saharudin

Apakah di dalam kepala anda sekiranya kami menyuruh anda membayangkan sebuah projektor? Pastinya sebuah kotak putih yang besar dengan lensa di bahagian hadapan. Anda pastinya membayangkan ianya berat berfungsi dengan bunyi deruan kipas yang agak bising. Ini ialah persepsi orang ramai mengenai projektor sejak ia dicipta pada dekad 1950an untuk digunakan di dalam kelas.

Pada tahun 2022, Samsung ingin mengubah persepsi ini dengan menawarkan The Freestyle ketika acara CES Las Vegas pada bulan Januari lalu. The Freestyle akhirnya memasuki pasaran Malaysia dengan saiznya yang kecil, rekaannya yang inovatif, mudah dibawa kerana ringan dan hadir dengan ciri-ciri TV pintar moden. Adakah Samsung berjaya? Jawapannya di akhir ulasan ini.

Spesifikasi

Samsung The Freestyle
JenisProjektor laser
Resolusi1920×1080 pixel
Saiz skrin30″- 100″
Sistem operasiTizen
HDRYa / HDR10, HLG
Keterangan maksimum 230 ANSI Lumens
Audio5W, Dolby Digital Plus
I/O1x HDMI Mikro, 1x USB-C
DTTVTiada
Pembantu mayaBixby
WiFiWiFi 5
BluetoothBT 5.2
AirPlay 2Ya
Berat0.8 kg
Harga JualanRM 4999

Rekaan

Saiz FreeStyle adalah agak mengejutkan kerana ianya lebih kecil dari yang disangka. Pada asalnya kami menjangka ia sebesar tin Milo tetapi hakikatnya ia lebih kecil – 102.4 x 172.8 x 95.2 mm sahaja. Tubuhnya berbentuk silinder berwarna putih dengan terdapat ratusan lubang untuk sistem pengudaraan dan juga speaker pada bahagian belakang. Terdapat sebuah penutup plastik lutcahaya yang bukan sahaja melindungi elemen mentol LED tetapi juga mempunyai fungsi sekunder sebagai lensa apabila FreeStyle digunakan sebagai lampu yang akan kami sentuh dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Pada sisi kanan terdapat butang fizikal untuk mematikan mikrofon, port kuasa USB-C dan sebuah port mikro HDMI. Jumlah port yang ditawarkan ini adalah terhad dan kurang memuaskan pada hemat kami. Kami adalah sebuah syarikat media dan kami sendiri tidak pernah menggunakan kabel berkepala mikro HDMI.

Samsung tidak menyertakan penyesuai mikro-HDMI ke HMDI dengan setiap pembelian menjadikan penggunaan port ini semakin aneh. Terdapat cukup ruang sebenarnya untuk port HDMI. Keperluan membawa penyesuai sepanjang masa bagi melakukan sambungan kepada peranti secara manual ini adalah sedikit menyusahkan pengguna.

Sistem lampu LED diletakkan di bahagian hadapan dengan saiz lensa sekitar 1-inci. Saiz lampu mungkin kecil tetapi ia masih boleh melontar imej sebesar 30-inci hingga 100-inci pada rata. Ia juga menyokong resolusi sehingga FHD serta boleh memaparkan kandungan HDR10 ataupun HLG. Tiada sokongan HDR10+ sungguhpun ia adalah format yang dicipta oleh Samsung sendiri ataupun Dolby Vision.

Di bawah lensa terdapat butang sesentuh untuk kuasa, menukar input dan melaras audio. Lokasi butang-butang ini adalah sedikit aneh kerana kerap kali tangan kami menghalang lampu dari mentol ketika cuba mengubah tetapan audio secara manual. Turut diletakkan pada bahagian hadapan The Freestyle ialah sensor pengesan jarak dan cahaya yang diperlukan untuk sistem keystone dan menala warna secara automatik.

Pada bahagian belakang pula terdapat sebuah speaker 5W berbentuk bulat yang menurut Samsung boleh menawarkan audio menyeluruh 360 darjah. Terdapat sokongan untuk Dolby Digital Plus dan sistem Samsung Adaptive Sound. Tiada sebarang output fizikal diberikan kecuali menerusi tambatan kepada sistem audio bluetooth 5.2.

Tubuh berbentuk silinder kompak ini disambungkan pula kepada tapak berbentuk bulat dengan dua pendakap sisi yang diperbuat daripada bahan logam juga berwarna putih. Tapak yang digunakan agak kecil tetapi masih mampu mengekalkan kestabilan The Freestyle walaupun ia diletakkan pada pelbagai sudut. Empat pelapik getah yang kecil diletakkan pada permukaan tapak bagi mengelakkan projektor tergelincir atau ia mencalarkan permukaan meja.

Tapak ini hadir dengan engsel 180 darjah bagi memudahkan pengguna mengubah sudut dongak projektor ketika digunakan. Pengguna boleh menembak imej ke depan, belakang dan juga terus ke siling sekiranya diperlukan. Dari segi kebebasan mengubah sudut projektor digunakan, tapak Freestyle ini adalah yang paling mudah digunakan sejak kami mula mengulas projektor di Amanz.

Pada projektor konvensional, dua kaki perlu dilaras dengan sistem skru yang agak melecehkan. Dari sinilah projektor mendapat nama The Freestyle kerana ia memang boleh diubah kedudukannya dengan cukup mudah sekali sehingga tidak dapat ditandingi projektor lain di pasaran.


Penggunaan Tizen

The Freestyle mungkin bukan sebuah projektor konvensional tetapi ia memerlukan ruang sekitar 8 kaki untuk melontar imej sebesar 100-inci. Ia boleh juga digunakan sebagai projektor lontaran pendek tetapi imej yang dihasilkan hanya sebesar 12-inci dengan The Freestyle diletakkan lima inci dari permukaan imej dilontar.

Dengan saiznya yang kecil, The Freestyle kami letakkan sahaja di atas meja kopi di rumah tanpa ia memakan sebarang ruang yang besar. Menerusi konfigurasi ini, imej dilontar ke hadapan dengan audio dari speaker ditembak terus ke telingan penonton.

Sistem operasi Tizen yang digunakan adalah sama seperti pada televisyen pintar Samsung di pasaran. Pada waktu ni Tizen ialah sistem operasi dengan peratusan pengguna yang terbesar diikuti oleh WebOS yang digunakan oleh LG. Antaramuka Tizen pada Freestyle adalah berbeza dengan yang kami sudah biasa gunakan pada The Premiere, TV dan Smart Monitor M7 sebelum ini.

Perubahan pertama ialah apabila butang Home ditekan, menu akan dipaparkan pada sisi kiri skrin dan bukan di bahagian bawah. Pada sisi tepi ini terdapat pintasan untuk Menu, Ambient Mode, Media dan Carian. Pelbagai tetapan projektor seperti Keystone, Focus, Mod Visual, Audio dan sebagainya diakses menerusi Menu.

Ambient Mode ialah ciri yang memaparkan latar belakang terbina seperti untuk sambutan hari jadi, tahun baru dan juga cinemagraph – latar belakang beranimasi berulang-ulang. Media pula tempat mengesan input luaran.

Perubahan paling besar yang kami kurang senangi ialah bagaimana tetapan imej boleh diubah oleh pengguna. Katakanlah anda sedang menonton Netflix dan menyedari imej tidak begitu terang. Pada TV pintar Samsung, biasanya Menu akan dipaparkan pada skrin dengan video masih dimainkan di latar belakang. Pengguna kemudian hanya perlu mengakses tetapan Picture untuk meningkatkan keterangan sebelum menekan butang Back untuk mengilang talam menu di bawah skrin.

Pada The Freestyle apabila perkara sama dilakukan, pengguna akan dibawa semula ke skrin hadapan dengan Netflix ditutup. Kemudiannya pengguna perlu mengubah tetapan keterangan skrin dengan teknik agak-agak beberapa kali sehinggalah visual yang memuaskan dicapai. Sungguh melecehkan dan langsung tidak sebaik sistem Tizen sebelum ini yang sudahpun sempurna.

Nasib baiklah aplikasi popular seperti YouTube, Prime Video, Netflix, Apple TV+, Apple Music dan Spotify boleh dimuat turun. Platform penstriman yang masih tidak nampak batang hidung ialah Disney+ Hotstar yang telah dijanjikan sejak Jun 2021. Entah bila akan muncul masih menjadi misteri nusantara.

Tanpa aplikasi terdapat dua alternatif yang boleh digunakan. Pertama menerusi Apple AirPlay 2 dan cara terakhir menggunakan Samsung SmartView pada telefon pintar. Ini bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik malahan kualiti visualnya kurang memuaskan. Satu lagi ekosistem Samsung yang disokong ialah Samsung DeX secara nirwayar dan juga berwayar.

Bagi mereka yang ingin memainkan video dari storan luaran, port USB-C The Freestyle boleh disambungkan kepada sebuah dongal dengan hab. Dengan itu bukan sahaja pemacu USB boleh disambung tetapi juga aksesori USB lain tetapi pada masa yang sama masih membekalkan kuasa kepada projektor yang tidak mempunyai bateri terbina ini.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh yang dibekalkan juga kami kategorikan sebagai mengecewakan. Seluruh tubuh diperbuat daripada plastik putih yang pastinya akan kotor dan menguning selepas beberapa tahun. Butang-butangnya juga terasa kurang teguh sehingga terasa murahan jika ingin dibandingkan dengan alat kawalan jauh Samsung yang biasa diberikan.

Ia amat nipis dengan bateri terbina yang dicas semula menggunakan port USB-C di bahagian bawah. Seperkara lagi dari empat butang pintasan aplikasi yang ada, hanya dua – Netflix dan Prime Video boleh digunakan. Butang Disney+ dan Samsung TV Plus tidak berguna kerana perkhidmatan tidak ditawarkan di Malaysia.

Penggunaan The Freestyle Dan Kualiti Visual

Sumber kuasa ialah sebuah pengecas kecil dengan output kuasa 50W. Sambungan USB-C ke USB-C dilakukan antara pengecas dan The Freestyle. Seperti yang kami katakan di atas projektor ini tidak mempunyai bateri terbina. Walaupun terdapat pek bateri dari Samsung, pemilik boleh juga menggunakan sebuah powerbank biasa asalkan ia menyokong USB-PD dengan output 50W dan ke atas. Projektor ini langsung tidak mempunyai pek bateri terbina di dalam tubuhnya.

Proses pengaktifan buat pertama kali adalah sama seperti televisyen, projektor dan monitor pintar Tizen. Bagi pemilik peranti Samsung proses ini lebih mudah dah lancar kerana integrasi Samsung Account yang lebih baik. Masa yang diambil untuk mengaktifkan The Freestyle buat pertama kali adalah sekitar 5 minit bergantung kepada kelajuan Internet dan sama ada terdapat kemas kini sistem operasi diperlukan.

The Freestyle mempunyai ciri keystone dan fokus secara automatik. Tetapi pada peranti yang diulas, proses automatik ini mengambil masa beberapa saat untuk disiapkan dan masih memerlukan campur tangan manusia sekiranya ingin mendapatkan imej yang betul-betuk empat segi. Setiap kali kedudukan projektor diubah, proses automatik mengambil masa antara 3-5 saat untuk disiapkan. Entah kenapa pada unit yang diulas, imej sentiasa senget sekitar 5 darjah walaupun diletakkan rata di atas meja. Nasib baik proses memutarkan imej mudah dilakukan menggunakan butang ubah saluran di alat kawalan jauh.

Dengan bantuan aplikasi Smart Things, kualiti visual boleh ditala menggunakan kamera telefon pintar. Imbas kod pada skrin kemudian biarkan sistem mengubah tetapan secara automatik. Profil visual ini kemudiannya boleh dipilih sebagai Calibrated pada menu Picture Mode projektor.

Untuk mendapatkan imej sebesar 100-inci, The Freestyle perlu diletakkan pada jarak 2.7 meter dari dinding. Secara realistiknya mereka yang duduk di dalam rumah atau apartmen yang sempit, hampir mustahil untuk menikmati saiz imej yang besar ini kerana kekangan ruang.

Jika sistem automatik tidak memenuhi piawaian anda, terdapat pelbagai pilihan untuk mengubah bentuk skrin, saiz skrin, fokus imej, keterangan dan dari mana imej dipancarkan. Samsung menyertakan kesemua jenis mod dan tetapan yang diperlukan bagi mendapatkan visual yang paling memuaskan pengguna.

Kualiti visual hanyalah memuaskan jika The Freestyle digunakan dalam suasana yang benar-benar gelap. Dengan lampu berketerangan 230 ANSI lumens, sebarang sumber cahaya akan menyebabkan imej yang dilontar menjadi kurang jelas. Penghasilan semula warna juga kurang bermaya. Pada hemat kami The Freestyle bukanlah projektor yang menyasarkan golongan pencinta filem sebenar memandangkan kualiti visual yang sekadar sederhana.

Tiada Filmmaker Mode dengan hanya Dynamic, Standard dan Movie (Calibrated) sahaja ditawarkan pada Picture Mode. Pilihan yang diberikan adalah terhad jika ingin dibandingkan dengan televisyen pintar Samsung dari tahun 2020. Kekangan perkakasan menyebabkan perisian The Freestyle tidak mampu melepasi paling kualiti Samsung yang kami tetapkan lebih tinggi memandangkan mereka adalah ternama dalam industri audio visual.

Kekuatan The Freestyle ialah saiz dan beratnya. Amat mudah untuk dibawa kemana-mana seperti berkhemah misalnya asalnya anda membawa powerbank yang serasi. Ia hanya sekitar 800 gram dan boleh disimpan di dalam beg galas. Kerana keutamaan lebih diberikan kepada memudahkannya dibawa ke mana-mana.

Kualiti Audio

Dengan hanya satu pembesar suara berkuasa 5W, kualiti audio adalah sekadar sederhana. Apabila menonton filem, suara dapat didengari dengan jelas cuma apabila letupan berlaku pada skrin tahap bass adalah tidak begitu baik. Bunyi agak kosong, rata dan seakan kompang. Memang wujud sokongan Dolby Digital plus tetapi tidak memadai. Untuk pengalaman audio yang lebih baik, padankan The Freestyle dengan sebuah soundbar.


Kesimpulan

The Freestyle memang berjaya memecahkan kebosanan rekaan projektor yang besar serta sukar dibawa kemana-mana. Dengan sudut boleh diubah sehingga 180 darjah, ia menawarkan kebebasan yang sebelum ini hanya boleh diimpikan sahaja selama ini. Kekuatan projektor juga terletak pada ciri pintar yang membolehkan ia menstrim kandungan dari pelbagai platform penstriman popular dan juga sokongan AirPlay 2 bagi pengguna ekosistem Apple.

Namun begitu dari segi kualiti visual dan audio, The Freestyle hanya sekadar sederhana. Ia sentiasa memerlukan bilik yang gelap untuk memancarkan kandungan pada kualiti yang baik. Kemudian pengalaman penggunaan dicemari pula dengan sistem operasi yang mempunyai sela masa yang amat ketara dan auto-keystone yang tidak konsisten. Bagi sebuah produk Samsung yang terkenal dengan kualiti peralatan audio visual mereka, apa yang ditawarkan oleh The Freestyle tidak melepasi standard tinggi yang kami tetapkan.

Dengan harga jualan RM4999 sebuah adalah sukar untuk menyarankan The Freestyle kepada pembaca semua kecuali kepada mereka yang memang mencari projektor pintar yang menyokong ekosistem Samsung dan Apple. Terdapat projektor mudah alih lain di pasaran pada harga lebih rendah dan hadir dengan pek baterinya sendiri. Dengan kata lain The Freestyle memang “stylo” tetapi tidak memberikan kepuasan sebenar seperti secawan air Milo dari van Nestle ketika hari sukan sekolah.

Pro

  • Lontaran imej sehingga 100 inci.
  • Sistem operasi Tizen dengan pelbagai ciri pintar disokong.
  • Sokongan AirPlay 2.
  • Saiz yang kompak dan berat kurang 1kg.
  • Kebebasan untuk mengubah sudut dongak yang baik.
  • Tidak memerlukan ruang meja yang besar.

Kontra

  • Memerlukan bilik yang benar-benar gelap untuk visual optimum.
  • Hanya disertakan mikro HDMI dan USB-C. I/O amat terhad.
  • Tidak berfungsi dengan lancar. Sela masa terlalu ketara.
  • Harga terlalu mahal.
Komen