Jenama Paparan Skrin Neotez Kini Memasuki Pasaran Tempatan Dengan Tiga Pilihan Saiz Berbeza

Diterbitkan pada Mac 17, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pilihan jenama paparan skrin di Malaysia kini dilihat semakin hangat dengan ketibaan Neotez, sebuah jenama paparan skrin dari Australia, yang baru sahaja memasuki pasaran tempatan dengan model Neotez Aquila mereka yang hadir dengan tiga pilihan saiz paparan skrin yang berbeza.

Tiga model paparan skrin yang memasuki pasaran tempatan ini termasuklah Neotez Aquila 24, Neotez Aquila 27 dan juga Neotez Aquila 34. Bermula dengan paparan Neotez Aquila 24, ia adalah sebuah paparan 24 inci yang menggunakan panel IPS dengan resolusi 1920×1080 dan kadar segar semula 165Hz.

Neotez Aquila 27 pula ialah paparan 27 inci menggunakan panel IPS yang sama dengan resolusi 2560×1440 dan kadar segar semula 165Hz. Kedua-dua paparan ini turut hadir dengan kemampuan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna sRGB, dimana model 27 inci mempunyai nilai kecerahan mencukupi untuk memaparkan kandungan dengan sokongan HDR400.

Model ketiga pula ialah Neotez Aquila 34, iaitu paparan skrin ultra-lebar 34 inci yang menggunakan panel VA dan mempunyai resolusi 3440×1440 dengan kadar segar semula 144Hz. Sama seperti model 27 inci, ia mampu memaparkan kandungan HDR400 tanpa masalah, dan mampu memperlihatkan 99 peratus gamut warna sRGB.

Apa yang menarik lagi mengenai penawaran Neotez ialah mereka juga tampil dengan polisi pemulangan selama 14 hari selepas pembelian sekiranya anda tidak berpuas hati dengan paparan skrin yang dibeli. Dan sekiranya anda melanggan pakej penjagaan Neocare Pro, mereka juga akan menggantikan paparan secara percuma sekiranya anda menemui walaupun satu piksel mati pada paparan anda.

Neotez kini mempunyai kedai atas talian di Shopee dan Lazada dimana anda boleh membeli paparan-paparan ini pada tanda harga berikut:

  • Neotez Aquila 24 – RM799 (RM899)
  • Neotez Aquila 27 – RM1399 (RM1549)
  • Neotez Aquila 34 – RM1899 (RM2099)

komen


© Amanz / 2022 Kami