Carian
Pengguna Tablet Atau Peranti Skrin Boleh Lipat Akan Lebih Mudah Mencari Aplikasi Sesuai Di Play Store
March 17, 2022 Fahim Zahar

Tahun lepas Google mengumumkan yang sistem markah di Play Store akan berubah mengikut negara dan jenis peranti. Pengguna di Malaysia akan dapat melihat markah mengikut apa yang pengguna tempatan berikan dan untuk peranti ia akan dipecahkan kepada telefon, tablet/telefon dengan skrin boleh-lipat, Chromebook, Wear OS atau Android Auto.

Terkini Google menyatakan mereka akan memudahkan pengguna tablet, peranti dengan skrin besar atau peranti dengan skrin boleh-lipat lebih mudah mencari aplikasi di Play Store. Google akan menyediakan panduan kepada pembangun sama ada sesuatu aplikasi itu layak diasingkan sebegini seperti paparan aplikasi dalam mod landskap atau potret, sokongan papan kekunci atau juga sokongan stilus.

Secara tidak langsung, pengguna dengan peranti skrin bersaiz besar akan melihat cadangan aplikasi yang bersesuaian dengan peranti mereka sahaja. Play Store juga akan memberi amaran jika sesuatu aplikasi itu tidak akan mempunyai sokongan baik pada skrin besar jika pembangun membinanya untuk skrin kecil.

Perubahan ini dikatakan akan berlaku dalam bulan-bulan akan datang.

Komen