OnePlus sedia hadir dengan penawaran aksesori audio dalam pelbagai bentuk, sama ada berwayar, nirwayar atau neckband. OnePlus Bullets Wireless Z adalah salah satu daripadanya dan ia merupakan set fon telinga jenis dalam-telinga dengan gelung yang melingkar pada bahagian leher.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, kini timbul desas-desus baharu mengatakan model kemaskini untuknya tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular. Mungkin dikenali sebagai OnePlus Bullets Wireless Z2, ia masih mengekalkan reka bentuk yang sama seumpama pendahulunya. Selain daripada itu, ia turut disertakan dengan sambungan magnetik – di mana muzik main balik akan terpadam secara automatik apabila kedua-dua fon telinga disambungkan.

Turut kelihatan, terdapatnya sehingga tiga butang fizikal berwarna merah yang boleh digunakan untuk kawalan pelbagai fungsi. Ini termasuklah pengubahsuaian kelantangan audio, menyeru pembantu maya, kawalan main balik muzik dan sebagainya. Pada sisi berlainan pula, terdapatnya penjenamaan OnePlus yang boleh dilihat dengan jelas.
OnePlus Bullets Wireless Z2 dijangka hadir dalam dua kemasan warna seperti hitam dan biru. Bagaimanapun, tiada sebarang informasi lanjut mengenai spesifikasi pada fon telinga yang dikongsi. Namun begitu, kita boleh menyasarkan yang mana ia bakal dikongsi dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan.