Carian
Samsung Galaxy A53 5G Dan A33 5G Kini Rasmi Dengan Exynos 1280 Harga Bermula RM1499
March 17, 2022 Effi Saharudin

Samsung Galaxy A53 5G dan Samsung Galaxy A33 5G telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi dengan beberapa ciri menarik bagi menjadikannya antara pranti kelas pertengahan paling menarik tahun ini. Kedua-duanya dijana cip terbaru Exynos 1280 (5nm) yang belum pernah digunakan sebelum ini dan dipercayai menawarkan prestasi seakan MediaTek Dimensity 900.

Kita mulakan dengan Samsung Galaxy A53 5G yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi terlebih dahulu. Skrin 6.5″ FHD+ SAMOLED 120Hz, dijana cip Exynos 1280, memori 8GB RAM, storan 256GB, sokongan kad mikro SD 1TB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan pengecasan 25W.

Sistem kuad-kamera menggabungkan sensor 64+12+5+5 MP dan kamera swafoto pula sebesar 32MP. Kamera swafoto diletakkan dalam lubang skrin Infinity-O dengan lensa sudut lebar hadir degan sokongan OIS seperti model tahun lalu.

Peranti menggunakan sistem operasi Android 12 dengan pelancar One UI 4.1 yang merupakan versi paling terkini. Ini membawakan sokongan RAM Plus sehingga 6GB secara maya sekiranya diperlukan. Peranti juga melepasi piawaian kalis air IP67. Sedikit kecewa tahun ini tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengecas diberikan dengan setiap pembelian.

Sementara itu Samsung Galaxy A33 5G dilengkapi skrin 6.4″ FHD+ SAMOLED 90Hz, dijana cip Exynos 1280, memori 8GB RAM, storan 128GB, sokongan kad mikro SD 1TB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan pengecasan 25W.

Sistem kuad-kamera menggabungkan sensor 48+8+2+5 MP dan kamera swafoto pula sebesar 13MP. Kamera swafoto diletakkan dalam takuk skrin dengan peranti turut mempunyai bezel dagu yang lebih besar. Tetapi seperti A53 ia masih dilengkapi sistem OIS, kalis air IP67, RAM Plus dan turut tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm.

Samsung turut mengesahkan Galaxy A53 dan Galaxy A33 akan menerima sokongan sehingga empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Sokongan ini setanding dengan yang diterima pada siri Galaxy S22 dan pertama kali dalam sejarah peranti kelas pertengahan Android.

Di Malaysia Samsung Galaxy A53 5G dijual pada harga RM1849 (8/1256) dan Samsung Galaxy A33 5G pula dijual pada harga RM1499 (8/128GB) sebuah.

Komen